Lapan wanita dipaksa jadi pelayan pelanggan diselamat
KLANG - Lapan wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dengan dikerah untuk bekerja di pusat hiburan di sekitar daerah ini diselamatkan, pada Isnin.
Operasi itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.
Menurut sumber, serbuan serentak bermula kira-kira jam 11 malam dijalankan di lima pusat hiburan.
"Hasil serbuan mendapati sebuah premis hiburan disyaki melakukan kesalahan pemerdagangan orang.
"Pasukan serbuan telah menyelamatkan lapan wanita warga Vietnam termasuk tiga bawah berusia 16 hingga 17 tahun dan selebihnya berumur 23 hingga 34 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah sumber, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Dalam lima serbuan premis terbabit, polis telah menahan 12 warga tempatan termasuk dua wanita.
Kata sumber, turut ditahan adalah 56 warga asing termasuk dua lelaki berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun membabitkan warga Vietnam, Thailand dan Indonesia.
"Kesemua tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!