'Air dijangka pulih Isnin, tapi hari ini masih belum dapat'
SUNGAI PETANI - Sebahagian penduduk sekitar Kedah terutama di Sungai Lalang dan Ambangan Heights di sini, mengharapkan isu bekalan air terjejas sejak Ahad kembali pulih dalam masa terdekat.
Penduduk Kampung Kongsi 6, Zackariah Ismail, 55, berkata, penduduk terpaksa mengangkut air beberapa kali bagi menampung kegunaan memasak dan keperluan harian sejak bekalan itu terputus tiga hari lalu.
Sebagai alternatif lain katanya, penduduk kampung juga telah membersihkan sebuah perigi lama yang boleh digunakan ketika keadaan terdesak, walaupun tidak sesuai untuk diminum.
"Kami lega bila telaga ni boleh guna tetapi untuk masak dan air minum terpaksa tadah dari lori, sebab nak air yang lebih bersih," jelasnya.
Sementara itu, penduduk Taman Seri Bayu 1, Sulaiman Mohd Lazim, 58, mengharapkan bekalan air sampai ke rumah dalam waktu terdekat.
"Mereka kata aliran air akan ambil masa selama 72 jam selepas kerja baik pulih dan melepaskan air di empangan dilakukan, dijangka juga Isnin dah boleh dapat air, tetapi hari ini Selasa pun belum ada," jelasnya.
Menurut Sulaiman, rumahnya dihuni bersama isteri dan tiga anak berusia antara 26 hingga 33 tahun, namun masing-masing keluar bekerja, menyebabkan dia dan isteri perlu mencari bekalan air tambahan bagi tujuan kecemasan.
Selain itu, Mohd Azman Mohd salleh, 59, dari Zon Kenanga Ambangan Heights juga mengharapkan agar bekalan pulih seperti biasa.
"Perkara ini kita tak jangka tetapi harap sangat boleh cepat dapat bekalan.
"Ada maklumat mengatakan penduduk di Zon Melor dan Zon Mawar sudah ada air tetapi di rumah kami belum ada.
"Walaupun saya telah menyediakan dua buah tangki tambahan di rumah, namun dengan lima anak masih bersekolah berusia antara sembilan hingga 18 tahun amat memerlukan bekalan air banyak.
"Saya sudah pesan mereka jimat air, guna yang tadah ini untuk mandi dan cuci apa yang patut, air dalam tangki simpanan dibuat minum dan keperluan memasak.
"Hari ini sahaja sudah tiga kali berulang alik angkut air untuk kecemasan. Apabila ahli keluarga ramai, macam-macam hendak guna," jelasnya yang bimbang sekiranya bekalan masih terputus.
Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati rata-rata penduduk berdekatan yang masih belum menerima agihan bekalan, mendapatkan air dari lori tangki yang ditempatkan di tapak bazar Ambangan Heights.
Difahamkan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut menempatkan lori statik membawa bekalan air di beberapa lokasi antaranya di Bandar Puteri Jaya dan Taman Universiti, Semeling sementara agihan dari rumah ke rumah turut dilaksanakan ke beberapa lokasi di Sungai Petani termasuk di Taman Ria Jaya dan Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebanyak 251,800 akaun di tiga daerah di Kedah mengalami gangguan bekalan air membabitkan Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling bermula Ahad.
Dalam laporan berasingan, ribuan pengguna di tiga daerah sempadan iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan kawasan selatan Pulau Pinang turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan air bermula Ahad hingga Rabu.
Bagaimanapun, bekalan kembali pulih secara beransur-ansur setelah kerja-kerja membaiki kerosakan pintu baraj di Sungai Muda dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!