Perlu ada ketelusan, kriteria jelas lantik KP SPRM
SHAH ALAM - Kerajaan terutamanya Perdana Menteri perlu memastikan pelantikan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa akan datang dibuat secara telus serta diberikan kriteria jelas mengenai pemilihan individu yang akan memegang jawatan nombor satu agensi itu.
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, proses itu penting bagi memastikan tidak timbul sebarang persepsi negatif.
"Pada masa akan datang (kerajaan) mesti telus dan berikan kriteria yang jelas (mengenai pemilihan Ketua Pesuruhjaya SPRM) supaya tidak timbul persepsi kurang baik terutamanya untuk orang nombor satu dalam SPRM itu," katanya ketika sidang media KRPPM-IGAR bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian KRPPM-IGAR berhubung pelantikan semula Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Tan Sri Azam bagi menerajui suruhanjaya berkenaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa Jumaat ini.
Menurutnya, pelantikan itu adalah selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sementara itu, ditanya sama ada pelantikan semula Azam menerajui suruhanjaya itu dibincangkan di dalam mesyuarat KRPPM-IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu tidak dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpandangan perlunya melaksanakan perubahan terutamanya dalam isu pelantikan Azam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana katanya, alasan pelantikan disebabkan prestasi baik belum cukup untuk memberi keyakinan memandangkan Azam sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!