Monsun Barat Daya: Kerajaan jamin 3 sektor tidak terjejas

Ahmad Zahid (dua dari kanan) ketika meninjau paras air Empangan Muda pada Selasa.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) ketika meninjau paras air Empangan Muda pada Selasa.
A
A
A

SIK - Kerajaan beri jaminan tiga sektor iaitu pertanian, industri dan domestik tidak terjejas teruk berikutan Monsun Barat Daya yang melanda negara bermula Isnin sehingga September depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana semua pihak telah menunjukkan usaha dan komitmen yang tinggi dalam menangani situasi berkenaan.

Menurutnya, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerajaan akan melaksanakan aktiviti pembenihan awan berdasarkan keperluan dan lokasi.

"Ini kerana Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan kadar luruan hujan berkurangan dan tiada tiupan angin yang membawa awan ke kawasan empangan," katanya ketika meninjau paras air Empangan Muda di sini pada Selasa.

Di samping itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga bersiap siaga agar kekurangan air tidak akan menjejaskan sektor tanaman padi khususnya di Kedah.

“Saya dimaklumkan dua musim penanaman padi akan terus berjalan dan bekalan air untuk sawah akan dipastikan konsisten.

"Kita juga akan ada kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mempunyai takungan setakat ini mencukupi untuk kegunaan dalam keadaan tertentu bagi menyalurkan air melalui terowong sepanjang 6.8 kilometer dari Empangan Muda ke Empangan Pedu," katanya.

Menurutnya, langkah-langkah berkenaan bukan sahaja akan dikoordinasikan bersama MADA tetapi turut melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain yang menguruskan perkara itu.

“Begitu juga koordinasi untuk pembekalan air bagi penggunaan domestik. Koordinasi telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain kerjasama dengan syarikat pembekal dan badan pengurusan air peringkat negeri," katanya.

Ahmad Zahid berkata, terdapat tujuh sumber air yang akan terjejas dalam tempoh monsun berkenaan dengan dua daripadanya berada di Kedah, empat lagi lokasi masing-masing dua di Perak dan Selangor serta satu di Sarawak.

"Jadi kami mengambil langkah-langkah yang proaktif terutamanya di kawasan tanah gambut yang mengalami kebakaran terbuka.

"Dijangkakan kebakaran ini akan menyebabkan banyak kesan jangka pendek yang akan menjejaskan pengguna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!