Permohonan pasport dalam talian di 3 pejabat imigresen mulai Jun

Saifuddin - FOTO ROSLI TALIB
Saifuddin - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Urusan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa di tiga pejabat imigresen - Kajang, Kelana Jaya dan Wangsa Maju - akan dijalankan secara dalam talian sepenuhnya bermula 1 Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan permohonan secara dalam talian sepenuhnya menerusi sistem MyOnline Passport itu, kategori pemohon yang berumur 13 hingga 59 tahun untuk urusan pembaharuan pasport tidak lagi diterima di kaunter atau secara jumpa terus di ketiga-tiga pejabat berkenaan.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen (JIM) Bagi Tahun 2022 di sini hari ini, Saifuddin berkata, pejabat imigresen lain masih menerima perkhidmatan pemohonan pembaharuan pasport seperti sediakala.

"Ketiga-tiga pejabat cawangan ini dipilih kerana ia merupakan antara pejabat yang menjadi tumpuan di Lembah Klang dan antara pejabat yang mengeluarkan pasport yang tertinggi.

"Pejabat-pejabat ini juga terletak di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang baik justeru tiada alasan permohonan secara dalam talian tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Ketiga-tiga pejabat itu bagaimanapun masih menerima permohonan di kaunter atau secara jumpa terus bagi permohonan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah; warga emas 60 tahun ke atas; bakal jemaah haji yang menerima tawaran Tabung Haji; pelajar berumur 21 tahun ke bawah yang menerima tawaran pengajian ke luar negara; Orang Kurang Upaya; dan ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, katanya.

Bagi tahun ini hingga 12 Mei lepas, beliau berkata, JIM telah mengeluarkan sebanyak 1.67 juta pasport dan daripada jumlah itu, sebanyak 464,725 pasport adalah daripada permohonan secara dalam talian.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pertukaran masa waktu bekerja syif baharu bagi kakitangan imigresen di Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor yang berkuat kuasa Ahad ini, tidak melibatkan masa puncak iaitu antara 4 pagi hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.

Ia bagi memastikan semua kaunter dapat beroperasi pada masa tersebut memandangkan pintu masuk BSI merupakan antara pintu masuk tersibuk di dunia dengan purata pelawat keluar dan masuk pada hari biasa mencecah 220,000 pergerakan pelawat merentas sempadan, katanya.

Beliau berkata, waktu bekerja syif sedia ada ditambah baik iaitu syif pagi adalah antara 9 pagi hingga 6 petang; syif petang bermula 4 petang hingga 12 tengah malam manakala syif malam pula antara 12 tengah malam hingga 9 pagi.

Sebelum ini syif bekerja adalah 7 pagi hingga 4 petang bagi syif pagi; 3 petang hingga 11 malam (syif petang); dan 11 malam hingga 8 pagi (syif malam).

"Pertukaran waktu bekerja syif baharu ini telah mengambil kira kebajikan pegawai-pegawai imigresen kerana perubahan masa yang tidak begitu ketara mengurangkan kesan kepada pegawai untuk mengadaptasi kepada waktu bekerja mengikut masa baharu," katanya.

Sebagai langkah tambahan untuk menangani kesesakan di pintu masuk BSI dan KSAB serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau berkata seramai 100 orang pegawai imigresen KP19 baharu akan ditempatkan di BSI dan KSAB, manakala 100 orang lagi pegawai ditempatkan di KLIA setelah mereka tamat latihan di Akademi Imigresen Malaysia minggu hadapan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!