Malaysian Tigress pastikan emas hoki milik Malaysia
SKUAD hoki wanita kebangsaan memastikan Malaysia menyapu bersih pingat emas acara hoki padang pada Sukan SEA Kemboja 2023 selepas menumpaskan Thailand 4-1 pada final di padang hoki Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Selasa.
Kejayaan tersebut menghadiahkan emas ke-34 buat kontinjen negara pada hari terakhir acara dipertandingkan sebelum temasya dwitahunan edisi ke-32 melabuhkan tirainya secara rasmi, malam Rabu.
Pada aksi di sini, Thailand mengejutkan skuad Malaysian Tigress seawal minit keempat selepas Natthakarn Aunjai menjaringkan gol padang, namun anak buah bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Siti Nur Arfah Mohd Nor.
Nuraini Abdul Rashid meletakkan pasukan negara di depan selepas beliau dengan tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-18 sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad mencetak nama sebagai penjaring gol ketiga Malaysia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-29.
Malaysia semakin selesa mendahului perlawanan selepas menambah gol keempat hasil gol pukulan sudut penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-41 sekali gus meletakkan Thailand dalam situasi tertekan dalam usaha mengurangkan defisit jaringan.
Kedudukan 4-1 kekal memihak Malaysia sehingga ke wisel penamat sekali gus menyaksikan pasukan wanita negara berjaya mengekalkan dominasi dalam acara hoki padang dengan kali terakhir memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Acara hoki padang kembali membuat kemunculan di Sukan SEA selepas enam tahun setelah ia tidak dipertandingkan pada edisi Filipina 2019 dan Vietnam 2021.
Bercakap kepada media, Mohd Nasihin berpuas hati dengan persembahan ditampilkan anak buahnya yang menyaksikan mereka berjaya mengatasi beberapa cabaran di sini untuk mempertahankan dominasi Malaysia pada edisi kali ini.
"Saya bersyukur (kejayaan ini) sebab pemain sudah berikan terbaik dalam beberapa perlawanan dengan keadaan cuaca yang panas dan padang yang masih baharu, sebenarnya ia (padang) tidak sesuai dengan cara permainan kita tetapi kita dapat juga menyesuaikan diri walaupun mengambil masa.
"Untuk hari ini pasukan Thailand memang kuat, bersedia sepenuhnya dan berpengalaman apabila sudah didedahkan di banyak negara terutama Korea Selatan. Tetapi pasukan kami yang kebanyakan pemain muda berjaya mengikut segala arahan dengan baik," katanya.
Terdahulu, Malaysia memenangi emas dalam acara lelaki selepas mengatasi Singapura 3-0 pada final di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!