Skuad sepak takraw gagal bawa pulang emas antara regu
HASRAT skuad sepak takraw negara untuk membawa pulang pingat emas acara antara regu lelaki Sukan SEA 2023 tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat kedua pada Selasa.
Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah Ahmad Jais Baharun itu apabila berjaya mencuri satu set ketika bertemu pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Thailand, pada aksi pembukaan saingan yang dijalankan secara liga sepusingan itu.
Dalam aksi berlangsung di Dewan Bola Keranjang NSTC itu, pasukan negara dibarisi Mohammad Syahir Rosdi, Amirul Zazwan Amir dan Mohamad Azlan Alias bermula dengan langkah kiri apabila tumpas kepada regu Thailand, 12-21.
Namun, regu Malaysia bangkit untuk mengheret pertarungan ke set penentuan apabila menang ke atas regu Thailand yang dibarisi Kritsanapong Nontakote, Pattarapong Yupadee dan Thawisak Thongsai, pada set kedua dengan 23-21.
Di set penentuan, corak permainan skuad negara tidak menjadi sebaliknya Thailand mendominasi saingan dengan kemenangan berpihak kepada skuad negara Gajah Putih itu 21-13.
Pada perlawanan kedua, skuad kebangsaan tidak menghadapi masalah apabila mengatasi tuan rumah, Kemboja dengan kemenangan 21-7, 21-11.
Malaysia melengkapkan aksi saingan tersebut dengan kemenangan 21-11, 21-16 ke atas Singapura, sekali gus mengesahkan pingat perak.
Kemboja dan Singapura berkongsi gangsa dalam acara itu yang disertai empat pasukan.
Pada temasya kali ini, skuad lelaki negara meraih keseluruhan empat pingat perak menerusi acara regu berpasukan, antara regu, double dan chinlone (same stroke) serta dua gangsa menerusi chinlone (non repetition dan linking).
Pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lalu, skuad sepak takraw lelaki negara gagal membawa pulang emas dan sekadar meraih tiga perak dalam acara regu berpasukan, antara regu dan double.
Kali terakhir Malaysia meraih emas menerusi acara antara regu lelaki ialah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun ketika itu acara tersebut tidak disertai Thailand.
Sementara itu, skuad sepak takraw wanita negara terpaksa berpuas hati merangkul pingat gangsa acara quadrant apabila tumpas 0-2 (9-21, 9-21) kepada Vietnam di peringkat separuh akhir, pada Selasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!