[VIDEO] Larangan azan: JMB Tri Pinnacle mohon maaf secara terbuka
GEORGETOWN - Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Alex Low memohon maaf secara terbuka kepada semua penduduk Muslim di kondominium tersebut berhubung isu azan yang sedang menjadi kontroversi ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk melarang laungan azan di Surau Saidina Umar yang terletak di blok A kondominium tersebut.
"Saya Alex Low, Pengerusi JMB Tri Pinnacle mewakili ahli jawatankuasa JMB yang lain dengan ini ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua penduduk Muslim di Tri Pinnacle khasnya dan semua umat Islam amnya atas isu azan yang sedang hangat diperbincangkan.
"Kami sama sekali tidak mempunyai niat untuk melarangkan laungan azan di Surau Saidina Umar. Saya secara peribadi, memohon maaf jika ada kata-kata dan ucapan saya menimbulkan kemarahan mana-mana pihak," katanya ketika sidang akhbar di tingkat 46, Tri Pinnacle di sini pada Selasa.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor serta Pengerusi Surau Saidina Umar, Muhammad Nasir Abdul Majid.
Beliau turut menyatakan kekesalannya berikutan isu tersebut telah ditular sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
"Kami amat kesal dan kecewa kerana isu yang sepatutnya hanya menjadi perbincangan dalaman secara sulit telah disebarkan dan mewujudkan salah faham. Untuk makluman, pihak JMB dan wakil ahli jawatankuasa surau telah bermesyuarat dan berbincang mengenai hal ini dengan Jabatan Agama Islam Daerah Timur Laut pada 9 Mei lalu.
"Persetujuan telah dicapai dan masalah telah pun diselesaikan. Kami faham dan hormat agama Islam sebagai agama rasmi di negara kita. Kami juga jelas bahawa azan dilaungkan untuk memanggil umat Islam untuk menunaikan solat," katanya.
Alex turut menjelaskan bahawa agenda yang dibawa dalam perbincangan tersebut bukan mengenai laungan azan sebaliknya pemasangan pembesar suara.
"Berikutan salah satu video yang tular yang menunjukkan situasi di dalam mesyuarat agung, kami ingin menjelaskan bahawa agenda yang dibawa bukan lah mengenai laungan azan tetapi mengenai pemasangan pembesar suara.
"Bagaimanapun, agenda ini telah pun ditarik balik berikutan ia amat sensitif untuk dibincangkan. Penarikan balik agenda tersebut ada direkodkan di dalam minit mesyuarat agung yang bertarikh pada 12 Mac 2023.
"Sekali lagi, kami secara rendah diri ingin memohon maaf dan berharap agar isu seperti ini tidak dibangkitkan lagi, bukan hanya di Tri Pinnacle tetapi di negara kita," katanya.
Beliau juga berharap agar semua video yang ditular ditarik balik oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengelakkan salah faham dan provokasi yang berlanjutan.
Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.
Kondominium tersebut mempunyai tiga blok dengan setiap satu berketinggian 48 tingkat dan majoriti penduduk di situ adalah beragama Islam.
Surau tersebut terletak kira-kira 200 meter dari blok pertama iaitu Blok A.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!