Thailand yakin tuan rumah terbaik Sukan SEA 2025
THAILAND yakin negara itu akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2025 dengan jayanya dengan meneliti semua aspek penganjuran yang bakal berlangsung di tiga bandar utama negara itu - Bangkok, Chonburi dan Songkhla, dari 9 hingga 20 Disember 2025.
Gabenor Pihak Berkuasa Sukan Thailand (SAT), Gongsak Yodmani, memberi keyakinan tentang persediaan, selaku tuan rumah, diaturkan secara rapi bagi memastikan temasya dwitahunan edisi ke-33 itu berjalan dengan lancar.
Katanya, mereka mempunyai beberapa penginapan dan juga kemudahan sukan bertaraf dunia, justeru tidak akan membina infrastruktur baharu tetapi sebaliknya mengubah suai atau menaik taraf kemudahan sukan yang sedia ada termasuk venue utama, Stadium Rajamangala.
Selain venue pertandingan, katanya, mereka tidak merancang membina Perkampungan Sukan bagi menempatkan atlet dan pegawai kerana bercadang menginap mereka di asrama universiti atau hotel di tiga bandar tersebut.
"Tiada infrastruktur baharu kerana kami cuba melakukan segala-galanya dalam bajet yang terhad, tetapi ia mesti dilakukan dengan standard yang tinggi (pengubahsuaian tempat).
"Kami yakin boleh menyediakan persiapan terbaik bagi setiap negara untuk datang dan menikmati bukan sahaja pertandingan tetapi juga layanan dan keharmonian kami kepada seluruh delegasi dan kontinjen negara ASEAN,” katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Gongsak berkata, mereka masih belum memuktamadkan bilangan acara sukan dan venue yang akan ditampilkan kerana ini akan dibincangkan kemudian dengan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Bagaimanapun, beliau membayangkan kebanyakan acara sukan akan berlangsung di Bangkok manakala acara sukan air di Chonburi dan bola sepak dan sepak takraw di Songkhla.
Sukan SEA 2025 merupakan kali keenam Thailand menganjurkan temasya dwitahunan itu selepas kali terakhir pada edisi 2007 di Nakhon Ratchasima.
Sebelum ini, SEAGF memilih Malaysia sebagai tuan rumah pada 2027, dikuti Singpura pada 2029. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!