Isu kalimah Allah: Mufti Perlis saran perhati elemen setempat
SHAH ALAM - Isu kalimah ALLAH yang hangat diperkatakan baru-baru in mendapat respons daripada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menerusi artikel yang dikeluarkan, beliau berpandangan, beberapa elemen setempat perlu diberikan perhatian mengenai perkara tersebut.
Berikut merupakan kenyataan penuh daripadanya:
1. Isu bukan muslim menggunakan kalimah ALLAH telah saya ulas dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Tidak dinafikan bahawa beberapa elemen setempat ini perlu diberikan perhatian.
2. Fatwa Negeri Perlis pada lebih 12 tahun lalu, pada 14-15 Jun 2008 membuat keputusan “Tiada halangan orang bukan Bukan Islam menyebut nama ALLAH dan memanggil Tuhan dengan nama ALLAH”. Untuk memahami fatwa ini, hendaklah dibaca ulasan dalam artikel ini sepenuhnya.
3. Yahudi Arab, Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu memang menyebut Allah sebagai Tuhan. Bahkan di negara-negara Arab sehingga kini, Bible Arab menyebut perkataan ALLAH. Sesiapa yang pergi ke gereja-gereja di Jordan, Lebanon, Syria, Mesir dan seumpamanya akan melihat hal ini. Anda juga boleh melihat naskhah Arab itu di internet: https://st-takla.org/Bibles/Download-Arabic-Bible-Doc.html
4. Di Malaysia, ada agama selain Kristian yang sejak dahulu menggunakan nama ALLAH dalam teks mereka iaitu Agama Sikh. Walaupun agama ini lahir selepas Islam, tapi demikianlah teks mereka. Demikian juga bukan muslim menyebut nama dalam lagu-lagu negeri di Malaysia yang mempunyai perkataan ALLAH seperti lagu Negeri Selangor. Demikian perkataan ALLAH dan Muhammad pada logo PDRM dan ATM. Kita tahu bukan muslim juga terlibat dengan pasukan-pasukan berkenaan. Sementara Bible di Sabah dan Sarawak pula memang menggunakannya tanpa larangan Kerajaan.
5. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah sesiapa yang memanggil Tuhan dengan panggilan ALLAH sekalipun bukan muslim. Bahkan itulah nama Tuhan yang sebenar. Apa yang dibantah oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah syirik yang mereka lakukan. Antara dalilnya al-Quran menyebut:
وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ (63)
(maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
Ayat ini, menunjukkan al-Quran tidak membantah golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad SAW disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidaktulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik. Banyak ayat seperti ini dalam al-Quran. Contoh lain sila baca Surah al-Zukhruf ayat 87-88
6. Ketika menyebut tentang peranan jihad dalam Islam, Allah menyebut:
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
(maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadah rahib, gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah ibadah Yahudi, dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).
Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Dalam al-Tafsir al-Munir, Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Disebut nama ALLAH banyak-banyak dalamnya bermaksud disebut nama ALLAH pada empat tempat yang nyatakan (tempat pertapaan, gereja Kristian, rumah ibadah Yahudi dan Masjid)” (17/225. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)
7. Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:
أَنَّ قُرَيْشًا صَالَحُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ سُهَيْلُ بْنُ عَمْرٍو فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَلِيٍّ اكْتُبْ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَقَالَ سُهَيْلٌ أَمَّا بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَلَا نَدْرِي مَا بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَلَكِنْ اكْتُبْ مَا نَعْرِفُ بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ
“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi SAW Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi SAW: barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi SAW menerima bantahan tersebut.
Hadis ini ternyata mereka bersetuju menggunakan nama Allah cumanya mereka tidak setuju al-Rahman dan al-Rahim.
8. Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidakjelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah generasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirik agar tidak menyentuh akidahnya. Justeru, bukan semua yang mengakui Allah sebagai akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik. Jika tidak tentu Musyrikin Mekkah, Yahudi dan Kristian Arab dianggap beriman dengan ajaran Islam.
9. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini menjadi polemik. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik penggunaan ini?! Apakah ada agenda yang lain? Mengapa sebelum ini tidak ada tuntutan ini dam seumpamanya. Penggunaan atau penyalahgunaan? Maka, isu ini bersifat tempatan dan urus tadbir politik setempat.
10. Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sejak 12 tahu lalu mencadangkan beberapa perkara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;
a. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar membantah. Musyrikin Quraish memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkan-Nya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.
b. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).
c. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggil Allah dalam doa mereka, maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain selagi bukan bersifat provokasi tetapi sekadar keyakinan sendiri. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama selagi tidak mencabar atau menghina ajaran Islam secara jelas.
d. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.
e. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutarbelitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.
f. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” atau in sha ALLAH adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim tadi.
11. Kesimpulannya: apa yang dilarang ia penyalahgunaan nama ALLAH. Ini merangkumi semua pihak, sama ada muslim atau bukan muslim. Adapun jika nama ALLAH digunakan dalam konteks yang betul seperti bukan muslim menyebut nama ALLAH dalam lagu-lagu negeri atau nasyid yang mereka minati atau dialog dengan muslim atau urusan rasmi atau kerana ingin memahami ajaran Islam dan seumpamanya, adalah dibolehkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!