Fahami poligami, jangan terlalu mengeji

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

LAPORAN berita bertajuk ‘Harmoni sambut Aidilfitri bersama empat isteri’ yang disiarkan Sinar Harian pada 13 Mei lalu menjuarai 10 berita paling popular selama tiga hari berturut-turut di portal akhbar ini.

Perkongsian daripada seorang peguam, Abdul Syaheed Ismail, 41, yang mempunyai empat orang isteri menerima ribuan emoji, tidak kurang juga yang memberi komen dan menyuarakan pertanyaan.

Menurut bapa 13 anak itu, dia sudah mengamalkan poligami sejak 2009, mengikut jejak langkah bapanya yang berkahwin dua.

Pernikahan pertamanya ketika dia masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2003 sebelum bernikah dengan isteri kedua hingga keempat, yang merupakan ibu tunggal.

Bukanlah semuanya indah jika terjerumus dalam dunia poligami tetapi jika pandai mengurusnya, kehidupan mungkin akan menjadi lebih mudah dan bahagia walaupun kadangkala dipandang serong oleh segelintir masyarakat.

Perkara itu turut diakui oleh Abdul Syaheed. Katanya, situasi paling mencabar dilalui pada awal perkahwinan, namun keadaan menjadi semakin baik dari tahun ke tahun.

Uniknya, menurut Abdul Syaheed, giliran pulang berhari raya ke kampung akan diuruskan isteri-isterinya secara giliran empat tahun sekali demi memastikan kemeriahan sambutan Syawal tetap dirasai.

Melihat gambar yang dikongsi bersama empat isterinya itu, kehidupan mereka nampak bahagia dan saling melengkapi.

Menjengah ke ruangan komen, sebahagian besar kaum Adam dilihat ‘merestui’ hubungan poligami yang diamalkan.

Rata-rata ramai yang memuji dan mahu menjadikan perkahwinan mereka sebagai idola, namun ada segelintir kurang senang dengan apa yang dilihat terutama penentang poligami.

Sudah pasti ada kaum Hawa yang tidak boleh menerima keadaan itu tetapi mengejutkan ada juga yang mendoakan kebahagiaan mereka.

Kehidupan lebih teratur

Berdasarkan pengalaman rakan penulis sendiri yang hidup bermadu, kehidupannya diakui lebih teratur apabila telah menjadi isteri kepada suami wanita lain.

Selain mempunyai ‘me time’, rakan penulis yang menganggap madunya sebagai teman baik akan berbahagi tugas dan menjadi tempat rujukan bertukar pandangan mengenai banyak perkara.

Malah, penulis pernah melihat madu kepada rakan penulis itu menghantar pakaian baharu dan membawa pulang pakaian sudah dipakai untuk dicuci ketika dia terlantar di hospital.

Bukan itu sahaja, madunya turut bertindak sebagai driver membawanya ke mana sahaja tatkala dia mengalami anxiety serius selama bertahun-tahun dan tidak boleh memandu kereta bersendirian.

Jika kebiasaannya madu mungkin akan bergaduh dengan madu tetapi berbeza rakan penulis ini apabila mereka berdua boleh bergabung dan ‘melancar perang’ dengan suami, tak ubah seperti filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee - Madu Tiga.

Memang kedengaran agak janggal tetapi itulah ‘kebahagiaan’ yang penulis nampak dalam kehidupan mereka yang hidup bermadu.

Namun tidak dinafikan, ramai juga rakan penulis yang menderita ditinggal sepi selepas suami mendapat pucuk muda.

Bukan sahaja nafkah tidak diberi, keperluan anak-anak juga langsung tidak diambil tahu, malah apabila isteri pertama menolak untuk menerima madu, mereka digantung tidak bertali atau ada yang sanggup melafazkan talak tiga.

Ada buruk dan baik hidup berpoligami, namun jika semua persediaan mental dan fizikal telah dibuat dari awal, nescaya segala ranjau dan duri dapat diharungi bersama.

Tidak salah untuk berkongsi kasih sayang sekiranya masing-masing tahu tanggungjawab dan hukum-hakam hidup berpoligami.

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa poligami secara tidak langsung menyelamatkan ibu-ibu tunggal yang kehilangan tempat bergantung.

Bagaimanapun, golongan lelaki yang mengamalkan poligami diingatkan agar bersikap adil dan peka dengan perasaan isteri-isteri mereka.

Janganlah terlalu nak berbangga memiliki ramai isteri, sedangkan hakikatnya isteri-isteri menanggung derita dan makan hati.

Nasihat kepada sang suami, sebelum mengambil keputusan untuk berpoligami, ukurlah baju di badan sendiri.

Kepada masyarakat pula, janganlah membebankan fikiran dan terlalu menghukum mereka yang mengamalkan poligami kerana takdir mereka telah tertulis sebegitu.

*Nur Farhana Abdul Manan ialah Ketua Unit Editor Pengisian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!