Hadiah Hari Guru digalakkan, namun jangan sampai jadi haram

Gambar utama - Foto 123RF
Gambar utama - Foto 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan ingin mengucapkan Selamat Hari Guru yang disambut semalam kepada semua warga pendidik di negara ini.

Tanpa didikan daripada mereka, tidak mungkin kita akan berjaya seperti sekarang.

Hari Guru disambut 16 Mei setiap tahun bagi menghargai pengorbanan dan jasa guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa.

Merak Jalanan lihat sekarang telah menjadi trend guru-guru diberi pelbagai hadiah oleh anak murid sempena sambutan Hari Guru.

Ia memang satu amalan yang baik, malah Merak Jalanan juga tak ketinggalan beri hadiah kepada guru-guru yang mengajar anak-anak Merak Jalanan.

Nilai hadiah diberi bukanlah ukuran walaupun ia sekadar sebatang pen, yang penting pemberian hadiah itu ikhlas daripada hati tanpa mengharapkan sebarang pembalasan.

Janganlah kita memberi hadiah mahal seperti tudung berjenama eksklusif atau beg tangan dengan harapan guru-guru akan beri perhatian lebih kepada anak-anak kita. Perbuatan sebegini boleh dianggap sebagai rasuah.

Pemberian hadiah perlu ikhlas daripada ibu bapa, bukannya satu paksaan oleh pihak tertentu yang mewajibkan ibu bapa memberi hadiah kepada guru.

Bukan semua ibu bapa berkemampuan membeli hadiah untuk guru.

Mengenai hukum pemberian hadiah sempena Hari Guru, Merak Jalanan ingin merujuk laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang mengatakan pemberian dan penerimaan hadiah itu mestilah bertujuan untuk kebaikan serta mengeratkan silaturahim dan disunatkan seperti dilakukan pada Hari Guru bagi menghormati serta memuliakan golongan pendidik.

Namun, sekiranya pemberian hadiah itu mengandungi unsur-unsur dilarang syarak seperti paksaan dan rasuah bertujuan mendapat manfaat tertentu, maka ia diharamkan.

Jadi, Merak Jalanan harap ibu bapa dapat memasang niat yang betul dengan setiap hadiah yang diberikan agar ia tidak bertukar hukum menjadi haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!