Flat kos rendah padat punca vandalisme

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mazlan)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mazlan)
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan rumah flat kos rendah di bandar besar yang terlalu padat penduduk menyebabkan kemudahan yang disediakan tidak mencukupi sehingga menyumbang kepada aktiviti vandalisme dan menjejaskan fasiliti yang telah disediakan.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mazlan Mohd Tahir berkata, untuk memastikan kawasan tersebut diselenggara dengan baik, ia memerlukan kepimpinan komuniti setempat yang bertanggungjawab bagi memantau tahap kebersihan.

“Kerajaan pada hari ini sangat prihatin, tetapi ia bergantung kepada sikap individu yang menetap di situ sama ada ingin membiarkan keadaan sekitar kotor dan mengharapkan pihak pembersihan melakukan kerja untuk mereka merupakan satu tindakan yang kurang wajar,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Jelas Mazlan, selain isu kebersihan, reka bentuk rumah flat kos rendah juga perlu diubah suai mengikut keadaan semasa kerana kawasan tanah yang terhad menyebabkan mereka yang tinggal di kawasan berpenduduk padat tidak dapat keluar beriadah dan meluangkan masa bersama komuniti setempat.

Menurutnya, keadaan rumah flat kos rendah di Malaysia adalah berbeza dengan Singapura yang lebih teratur dan sering dipantau oleh pihak berkuasa.

“Aspek pengubahsuaian reka bentuk perlu dilakukan bagi menyesuaikan kawasan yang boleh digunakan oleh komuniti seperti tempat beriadah kanak-kanak dan tempat pembuangan sampah yang teratur bagi memelihara kebersihan,” katanya.