Bekas guru disegani sebagai wartawan sukan tersohor

Bermula kerjaya sebagai guru, kini Azizan yang telah bersara masih aktif berkhidmat sebagai wartawan sambilan sukan di Perak.
Bermula kerjaya sebagai guru, kini Azizan yang telah bersara masih aktif berkhidmat sebagai wartawan sambilan sukan di Perak.
A
A
A

IPOH - Pembabitan 39 tahun dalam profesion perguruan dan 40 tahun pengalaman sebagai wartawan sukan merupakan satu tempoh cukup lama dilalui Azizan Hashim, 66, untuk meletakkan diri sebagai individu disegani dan dihormati terutama kalangan media tempatan.

Penglibatan bekas guru disiplin dan bahasa Inggeris itu sebagai wartawan sambilan bermula tahun 1983 tanpa sebarang pengalaman dan pengetahuan mengenai penulisan berita.

Meskipun penulisannya ketika itu menerima teguran dan kritikan, tidak sekali mematahkan semangatnya untuk terus menghasilkan berita.

"Sebagai seorang guru, yang saya tahu tulis hanyalah karangan.

"Saya masih ingat tugasan pertama saya perlu buat mengenai 'Kejohanan olahraga polis', berita yang ditulis tak ubah seperti karangan, panjangnya berjela-jela.

"Sudahlah kena marah, berita itu terpaksa diolah dan ditulis semula beberapa kali, barulah dapat diterbitkan," katanya.

Penerima Pingat Penghormatan Guru Perak kategori pesara pada 2018 itu berkata, dunia pendidikan dan kewartawanan merupakan dua cabang tugas yang berbeza, namun mempunyai matlamat sama iaitu mendidik masyarakat.

Azizan bersama bekas Ahmad Faizal yang pernah menjadi anak didiknya sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri pada 2018.
Azizan bersama bekas Ahmad Faizal yang pernah menjadi anak didiknya sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri pada 2018.

Melalui profesion guru, beliau bertanggungjawab memastikan pelajarnya mendapat ilmu yang cukup untuk masa hadapan, manakala tugas pengamal media dapat menyampaikan maklumat tepat berkaitan isu semasa sukan tanah air dan tempatan.

"Saya bersyukur dapat melaksanakan tugas sebagai pendidik sebaik mungkin sehingga sampai tempoh bersara.

"Kerjaya wartawan tidak sedikit pun menjejaskan tanggungjawab sebagai guru, malah jadi motivasi kepada saya untuk mendidik anak bangsa dengan lebih baik," katanya.

Azizan paling lama berkhidmat sebagai wartawan sambilan sukan di Berita Harian selama 34 tahun, Stadium Astro (satu tahun) dan kini bersama Utusan Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, beliau diberikan tanggungjawab membuat liputan acara besar sukan di Perak termasuklah Kejohanan Boling Padang Asia, Sukan Malaysia (Sukma), kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah, badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia dan kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022.

Selain liputan semasa Liga Malaysia, Azizan turut secara kritis menulis mengenai perkembangan prestasi sukan bola sepak Perak.

Bapa kepada lapan anak itu mengakui, kecenderungannya menulis berita sukan telah menjadikan Stadium Perak di sini ibarat rumah keduanya.

Azizan bersama keluarga.
Azizan bersama keluarga.

Malah, hubungan bersama bekas pemain dan jurulatih antaranya mendiang Karl Heinz Weigang (ketua jurulatih pasukan bola sepak Perak), Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengurus pasukan Perak) serta Azizol Abu Haniffah (bekas pemain bola sepak Malaysia yang pernah mewakili Perak FA), ibarat keluarga.

"Sampai ke hari ini, saya masih lagi menulis untuk berita sukan. Insya-ALLAH selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus menulis," katanya.

Tugas sebagai pendidik digalas bermula di Sekolah Menengah (SM) St Michael, Sandakan Sabah pada 1976 sebaik berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma (Diploma Perguruan) dari Maktab Perguruan Gaya Kota Kinabalu.

Azizan (duduk kiri) bersama rakan pengamal media di Perak.
Azizan (duduk kiri) bersama rakan pengamal media di Perak.

Selepas lima tahun, beliau dipindahkan ke semenanjung dan berkhidmat di SM Rendah Batu Gajah yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad, guru di SMK Anderson seterusnya di SMK Kampong Pasir Puteh sehingga bersara pada 1995.

Antara tokoh dan pemimpin yang pernah menjadi anak didikannya ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Sumber Manusia, Datuk V Sivakumar dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!