Najis tikus, lipas berkeliaran 9 premis diarah tutup
KOTA KINABALU - Najis tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur antara punca sembilan restoran di kawasan Polytechnic Commercial Centre (PCC), di sini diarahkan tutup menerusi Operasi Bersepadu Akta Makanan 1983 yang dilaksanakan pada Selasa.
Operasi diketuai Unit Inspektorat dan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu itu turut mengeluarkan 11 notis kepada pemilik atau wakil premis serta pengendali makanan atas pelbagai kesalahan lain.
Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Prabakaran Dhanarah berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"15 premis makanan telah diperiksa dan sembilan daripadanya telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
"Selain itu, 11 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kerana kegagalan mendaftarkan premis makanan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengendali makanan tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan serta kegagalan mematuhi kehendak berhubung dengan kewajipan mengekalkan premis bersih dan bebas daripada sampah, makhluk perosak seperti tikus dan lipas," katanya selepas menyertai operasi itu.
Operasi bersepadu itu turut disertai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, Dr Prabakaran berkata, DBKK dan KPDN antara agensi yang turut mengeluarkan notis kompaun terhadap premis yang diperiksa.
"Kedua-dua agensi masing-masing mengeluarkan 13 dan satu kompaun atas pelbagai pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pemilik premis," katanya.
Katanya lagi, semua pemilik premis makanan dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap aspek kebersihan premis makanan seperti yang tertakluk dalam peruntukan undang-undang.
"Kita akan terus menjalankan aktiviti pemeriksaan terhadap premis makanan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu bagi melindungi orang ramai terhadap bahaya kesihatan dan penipuan terhadap penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan mengenai perkara berkaitan dengannya," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!