12 lagi ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu Penjana Kerjaya
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 12 lagi individu dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan RM63 juta.
Katanya, penahanan suspek berusia 29 sehingga 53 tahun itu dilakukan malam Selasa secara serentak di seluruh negara menerusi operasi khas Op Hire 2.0.
Katanya, tambahan tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang diberkas adalah seramai 59 individu termasuk 18 wanita.
"Tangkapan terbaru ini terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus syarikat yang dikesan SPRM melakukan tuntutan dana terlibat.
“Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapatkan perintah reman," kata sumber pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu.
Kata beliau, SPRM masih lagi meneruskan operasi Op Hire 2.0 bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad dipercayai berada dalam pemerhatian SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.
Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti oleh SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama Skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) dalam operasi khas Op Hire.
Operasi khas itu mengesan mana-mana individu yang mengambil kesempatan melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika negara berdepan ancaman Covid-19 pada 2020.
Sinar Harian pada pada Selasa melaporkan SPRM telah menahan 47 individu terdiri pengarah syarikat di seluruh negara dalam operasi Op Hire 2.0 yang dijalankan sejak petang kelmarin.
Difahamkan, jumlah tuntutan yang terlibat antara RM450,000 hingga RM2 juta dan pelaksanaan Op Hire 2.0 adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilakukan pada 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!