Polis terima 21 laporan berhubung isu larangan azan

Kok Chin (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pada Rabu.
Kok Chin (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menerima 21 laporan berhubung isu larangan laungan azan di sebuah kondominium di Tanjung Tokong di sini, setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, isu berkenaan telah diselesaikan secara harmoni oleh badan pengurusan bersama (JMB) kondominium itu dan pengurusan surau dalam satu pertemuan yang diadakan pada Selasa.

Menurutnya, pertemuan kedua-dua pihak itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Isu ini sudah selesai. Bagi kita tidak timbul apa-apa lagi isu di antara pihak JMB dengan pihak surau.

"Mereka juga telah mencapai kata sepakat dengan memutuskan tiada halangan untuk melaungkan azan di surau tersebut, jadi kita berharap tiada lagi pihak yang cuba memainkan isu ini hingga mencetuskan kegusaran awam dan membangkitkan kemarahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Kok Chin juga menasihati orang ramai agar tidak terus menyebar serta membuat sebarang spekulasi berkaitan isu sensitif agama hingga boleh mengundang suasana tidak harmoni.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih cuba menggunakan isu itu bagi mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan memecahbelahkan ketenteraman awam.

"Pulau Pinang kini berada dalam keadaan aman dan harmoni, cuma ada pihak yang sengaja mensensasikan isu ini di laman sosial.

"Jadi saya menyeru agar masyarakat tidak terpengaruh dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang cuba mencetuskan provokasi," katanya.

Sementara itu, Kok Chin berkata, siasatan kes tersebut telah diambil alih oleh Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular satu klip video di media sosial menunjukkan satu sesi dialog antara pihak JMB sebuah kondominium di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa di kediaman tersebut.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila pihak JMB mengutarakan isu pembesar suara di surau kondominium berkenaan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Alex Low memohon maaf secara terbuka kepada semua penduduk Muslim di kondominium tersebut.

Beliau berkata, pihaknya tidak berniat untuk melarang laungan azan di Surau Saidina Umar yang terletak di blok A kondominium tersebut.

Beliau turut menyatakan kekesalannya berikutan isu itu telah ditular sehingga mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!