Malaysia perlu struktur semula ekonomi, kata pakar

Noor Azlan
Noor Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia perlu segera melakukan perubahan terhadap struktur ekonomi negara jika tidak mahu terus ketinggalan.

Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sehingga kini pelaksanaan ke arah itu dilihat tidak bermaya dan masih tidak jelas.

“Seruan dan hasrat untuk mengubah struktur ekonomi negara berulang kali dibuat. Malaysia mesti menangani cabaran dan mengubahnya. Jadikan negara kita hebat dan cemerlang serta memanfaatkan semua.

“Apa yang menghalang perubahan dilaksanakan? Mengapa kita melewatkan penstrukturan yang diperlukan? Sudah berjilid pelan induk, road map, blueprint (pelan tindakan), pelan strategik dan sebagainya dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan gerak kerja pembangunan ekonomi negara bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang tidak diketahui tahap pencapaiannya.

“Mungkin ramai yang sudah lupa intipati utama RMK12. Dokumen utama pembangunan negara setiap lima tahun, hampir semua cabaran utama dan keperluan penstrukturan ekonomi negara telah disenaraikan. Bagaimana dengan tindakan?” soalnya.

Jelas beliau, perubahan struktur ekonomi negara adalah seiring dengan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara beberapa hari lalu.

Di antara keputusannya adalah untuk mewujudkan pangkalan data utama (PADU) sosio ekonomi rakyat.

“Hasrat menjadikan subsidi bersasar juga bukan satu perkara baharu, sudah berulang kali dibuat, diumumkan dan bertahun didengar.

“Marilah kita bersama menjayakan misi ini. Perjelaskan kerangka, teras, strategi dan sasaran untuk perubahan struktur negara. Letakkan tanggungjawab dan akauntabiliti untuk perlaksanaan serta letakkan agenda ini sebagai agenda utama negara,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!