PPSPM bantu matlamat kerajaan wujud zon bebas kenderaan

Murad
Murad
A
A
A

MELAKA - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) yakin perkhidmatan teksi air dapat membantu menjayakan matlamat kerajaan untuk mewujudkan zon bebas kenderaan di kawasan pelancongan Banda Hilir.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, dengan adanya kemudahan itu yang sebelum ini dikenali dengan bot loncat-loncat akan merancakkan lagi pelancong mesra pejalan kaki dengan menaiki bot itu ke lokasi pelancongan sekitar kawasan berkenaan terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, pengunjung boleh mengakses ke mana-mana lokasi dengan 14 jeti yang terdapat di sepanjang Sungai Melaka fasa satu.

"Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di mana-mana tempat parkir untuk menaiki teksi air ke destinasi mereka.

"Malah harga yang ditawarkan berpatutan iaitu serendah RM1 hingga RM10 mengikut lokasi," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan lain Murad berkata, pihaknya merekodkan pengunjung yang menaikiMelaka River Cruise sebanyak 792,215 orang pada tahun lalu sekali gus melebihi sasaran iaitu sebanyak 700,000 orang.

Ujar beliau, sehingga pertengahan Mei ini seramai 283,540 pengunjung telah menaiki Melaka River Cruise menyusuri Sungai Melaka.

"Kita berharap tahun ini dapat mencapai sasaran seramai 800,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan itu seperti mana sasaran yang dapat dicapai pada tahun lalu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!