Juventus pasukan pilihan, tapi Sevilla ada kelebihan

Sevilla akan melayan kunjungan Juventus di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan pada Jumaat.
Sevilla akan melayan kunjungan Juventus di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan pada Jumaat.
A
A
A

PEMAIN tengah Sevilla, Fernando Reges menyifatkan Juventus sebagai pasukan pilihan namun percaya kelab Sepanyol itu mampu menghadirkan kejutan berbekalkan sorakan penyokong sendiri dalam aksi separuh akhir kedua Liga Europa pada Jumaat.

Reges berkata, sokongan penyokong di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan merupakan kelebihan dimiliki Sevilla selepas aksi separuh akhir pertama di Turin berakhir seri 1-1 minggu lalu.

"Juventus adalah pasukan pilihan dalam perlawanan itu nanti. Mereka lebih kuat berbanding kami dan mampu menyamakan kedudukan pada aksi pertama dengan hanya satu peluang.

"Saya yakin mereka tidak akan memberikan banyak peluang kepada kami dalam perlawanan ini.

"Bermain di laman sendiri merupakan kelebihan kami. Kami akan bermain dan menekan lawan seterusnya berusaha menunjukkan aksi luar biasa demi para penyokong," katanya.

Dalam pada itu, Reges turut berharap Sevilla mampu menggunakan faktor rekod cemerlang di Liga Europa dengan enam kejuaraan yang telah diraih mereka sebelum ini.

"Jurulatih (Jose Luis Mendilibar) memberikan keyakinan bahawa kami mampu untuk melangkah ke final. Kehadirannya menyelamatkan musim kami dan kini kami berpeluang kembali ke final Liga Europa.

"Selain itu, dia juga mampu mengembalikan prestasi pemain yang merosot dan kini semua pemain ada peranan penting dalam pasukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!