Peruntukan Generasi Penamat Rokok perlu ada dalam RUU
SHAH ALAM - Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menggesa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang bakal dibentang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hendaklah disekalikan dengan peruntukan Generasi Penamat Rokok.
Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy berkata, seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak KKM sebelum ini, peruntukan tersebut mampu mengekang masalah merokok.
“Isu penggunaan rokok elektronik atau vape telah semakin hangat diperdebatkan semenjak nikotin di dalam cecair vape tidak lagi dikawal di bawah Akta Racun 1952.
“Situasi penjualan yang berleluasa ditambah dengan pengiklanan serta promosi yang mampu menarik perhatian pengguna semakin sukar untuk dibendung,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Murallitharan menjelaskan Kajian Adolescent Health Survey yang dijalankan dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.
Jelas beliau, jika permasalahan itu tidak dibendung, ia akan meningkatkan kos perbelanjaan merawat penyakit akibat komplikasi rokok dan vape.
“Bukan itu sahaja, kita juga mungkin akan kehilangan generasi muda yang akan memacu hala tuju negara ke arah yang lebih maju,” ujarnya.
Pada masa sama, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) juga menggesa agar RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dapat dipercepatkan agar kawalan segera dapat dilaksanakan.
Menurut wakil daripada Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM), Mohamed Nizam berharap ada keputusan terbaik dibuat dalam menangani masalah kawalan rokok elektronik.
Beritahu Mohamed, pihaknya sedar bahawa produk rokok elektronik mungkin boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan masyarakat terutama golongan muda jika tidak dikawal dengan baik.
Sementara itu, wakil Persatuan Pengeluar Cecair Vape Malaysia (MEBA), Zapri Muhd Arifin berkata pihaknya akur dengan peraturan ditetapkan oleh kerajaan melalui RUU berkaitan kawalan produk rokok yang akan dibentangkan kelak.
“Selagi mana RUU ini tidak dibentangkan dan diluluskan, maka industri tempatan boleh terjejas,” katanya.
Seterusnya, wakil daripada Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Zain Azrul menjelaskan sebagai rakyat Malaysia, pihaknya juga prihatin terhadap masa depan kanak-kanak.
Ujarnya, penjualan rokok elektronik kini masih tidak dikawal dan ini membuka ruang kepada penyalahgunaan dan penjualan kepada kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!