Judi: KP Selangor beri amaran jangan ingkar aku janji

Hussein (kiri) pada program kesedaran jenayah di Universiti Sunway, pada Rabu.
Hussein (kiri) pada program kesedaran jenayah di Universiti Sunway, pada Rabu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Selangor akan mengambil tindakan terhadap ketua polis daerah dan ketua balai polis jika didapati ingkar kepada aku janji untuk memastikan tiada aktiviti perjudian dalam talian di daerah masing-masing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dalaman terhadap ketua polis daerah dan ketua balai polis yang didapati tidak 'seiring' dengan aku janji tersebut.

"Kita akan mengambil tindakan dalaman seperti tindakan tatatertib, pertukaran ke jabatan lain dan sebagainya," katanya pada sidang akbar pada program kesedaran jenayah di Universiti Sunway di sini, pada Rabu.

Hussein Omar berkata, pihaknya juga fokus melaksanakan serbuan secara berterusan ke atas premis perjudian dalam talian.

"Kita turut mendapati premis perjudian dalam talian di negeri ini sangat minimum, namun kita akan perangi aktiviti perjudian dalam talian ini," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan ada ketua polis daerah tidak berpuasa hati apabila Bukit Aman menyerbu premis judi online.

Ayob Khan turut mengingatkan ketua polis daerah di seluruh negara jangan menjadikan surat aku janji tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing sebagai 'kertas tisu'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!