Curi hampir RM1 juta, tiga sahabat mengaku tidak bersalah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Tiga sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan melakukan pecah masuk ke dalam pejabat dan mencuri wang tunai milik sebuah syarikat bernilai sekitar RM900,000, Februari lepas.

Md Halman Lagis, Aszemi Dol dan Musliandee Mustapa Kamal yang masing-masing berusia 43 tahun, dituduh melakukan kesalahan tersebut pada 21 Feb lepas, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Ketiga-tiga tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas, melakukan kesalahan itu di SRT-EON Security Services Sdn Bhd yang beralamat di Jalan TU2, Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di sini.

Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama kerana bersubahat.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan jika kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh, namun ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar jaminan dikurangkan memandangkan masing-masing hanya bekerja sebagai pemandu lori, pemandu van kesihatan pergigian dan nelayan, selain menanggung keluarga.

Majistret Mazana Sinin menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!