Sukan SEA: CDM mohon maaf Malaysia gagal capai 40 emas

Mohd Nasir (tengah) ketika sidang media sempena Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo semalam. Turut sama, Timbalan CDM ke Sukan SEA 2023, Datuk Shalin Zulkifli (kiri). - Foto Bernama
Mohd Nasir (tengah) ketika sidang media sempena Sukan SEA 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo semalam. Turut sama, Timbalan CDM ke Sukan SEA 2023, Datuk Shalin Zulkifli (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya dwitahunan itu di sini.

Mohd Nasir berkata, seramai 677 atlet yang menggalas cabaran Malaysia telah berjuang bersungguh-sungguh sekali gus menyifatkan keseluruhan 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa diraih kali ini adalah pencapaian terbaik yang boleh dihasilkan.

"Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sekiranya sasaran itu sesuatu yang diharap-harapkan dan kita tidak mencapai sasaran 40 emas tersebut.

"Tetapi jumlah 34 emas yang diraih adalah pingat yang berkualiti, saya yakin 34 emas ini akan terus dapat dipertingkatkan,” katanya kepada media tempatan di sini.

Jumlah 34 emas menyaksikan kontinjen Malaysia mencatat pencapaian terburuk sejak mengutip keseluruhan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Namun, berdasarkan kedudukan carta pingat, Malaysia menamatkan saingan di posisi terburuk apabila menduduki tempat ketujuh buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA, selepas menghuni tangga keenam pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Mohd Nasir turut mengulangi pendiriannya bahawa 40 emas adalah sasaran realisitik.

Katanya sasaran 40 emas yang ditetapkan itu tidak dibuat secara sambil lewa dan dimuktamadkan selepas tiga mesyuarat.

"Kita adakan tiga mesyuarat jadi ia (sasaran) bukan saat akhir punya kerja dan sasaran itu juga kita bincang dengan setiap persatuan, sebab itu selepas ini kita perlu kembali kepada persatuan dan minta penjelasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menganggap persiapan singkat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut, biarpun mengakui terdapat beberapa sukan menghadapi masalah semasa tempoh persediaan.

Tanpa mendedahkan identiti sukan berkenaan, beliau berkata sukan teras sememangnya telah bersedia lebih awal sementara ada antara sukan yang kurang popular tetap diberi peluang beraksi di sini meskipun persiapan yang singkat.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan memberikan perincian mengenai prestasi dan pencapaian atlet di Sukan SEA 2023 pada sidang media rangkuman prestasi di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

"Keputusan ini bukanlah bermakna pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MOM, MSN (Majlis Sukan Negara) ataupun ISN (Institut Sukan Negara) tidak mahu berdepan dengan media (di sini), cuma analisis terperinci terhadap prestasi kontinjen Malaysia perlu diperhalusi satu per satu,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!