Subsidi elektrik: Kerajaan harus teliti, jangan sampai tekan rakyat

Muhyiddin bergambar bersama penerima Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Masa (MPDP) 2.0 yang diadakan di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
Muhyiddin bergambar bersama penerima Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Masa (MPDP) 2.0 yang diadakan di Hotel Tamu & Suites, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto ROSLI TALIB/SINAR HARIAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan harus lebih teliti dan tidak terburu-buru dalam membuat sesuatu keputusan yang memberi kesan kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sepatutnya berbincang dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input atau pandangan seterusnya menilainya sebelum membuat keputusan secara drastik.

"Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mungkin kata cara itu bagi mengurangkan bebanan. Saya faham, tapi kita bila kabinet buat keputusan dia ada dia punya andaian.

"Kalau buat begini, kesan pada sektor mana, kalau buat begini kesan pada domestik atau tidak. Ataupun, sektor industri atau tidak.

"Tetapi, terbukti apabila kerajaan buat keputusan terkini itu, ada pihak yang rasa tidak berpuas hati. Sebab mereka terpaksa membayar bil elektrik yang lebih tinggi," katanya ketika sidang akhbar Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di sini pada Rabu.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tiada subsidi diberikan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan sebaliknya dikenakan caj tarif elektrik semasa baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.

Terdahulu, Muhyiddin ketika berucap pada majlis tersebut menegaskan, beberapa kajian menunjukkan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dan M40 merasakan kedudukan kewangan peribadi mereka semakin terjejas.

Katanya, kerana itulah terdapat gesaan yang kuat daripada rakyat supaya kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh mereka gunakan pada masa kritikal sekarang ini bagi menampung keperluan harian.

"Malangnya, kerajaan tidak mendengar keluhan dan permintaan rakyat, selain tidak mempunyai sebarang langkah konkrit bagi membantu rakyat menghadapi zaman sukar pada masa ini.

"Janganlah semasa sebelum berkuasa pandai bercakap, tetapi apabila berkuasa tak pandai buat. Malah, menutup mata dan memekakkan telinga apabila berhadapan dengan tuntutan rakyat. Langsung tidak peka dan tidak prihatin terhadap nasib rakyat jelata," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berbesar hati kerana MPDP 2.0 mendapat sambutan memberangsangkan daripada kalangan ahli penyelidik dan akademik dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 27 kertas cadangan telah disenarai pendek panel penilai dan setiap penerima geran MPDP 2.0 layak menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000.

Antara bidang tumpuan penyelidikan MPDP 2.0 merangkumi isu-isu relevan seperti perubahan iklim, keterjaminan bekalan makanan, menangani keciciran pembelajaran, memacu perniagaan, rumah mampu milik, pembinaan daya tahan sistem kesihatan dan kesiapsiagaan menghadapi krisis pada masa depan serta perlindungan sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!