Inflasi Malaysia naik 3.3 peratus pada 2022

Inflasi Malaysia pada 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021, dengan mata indeks mencatatkan 127.2 tahun lepas berbanding 123.1 pada 2021. - Gambar hiasan
Inflasi Malaysia pada 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021, dengan mata indeks mencatatkan 127.2 tahun lepas berbanding 123.1 pada 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia pada 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021, dengan mata indeks mencatatkan 127.2 tahun lepas berbanding 123.1 pada 2021, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini terutamanya didorong oleh makanan dan minuman (5.8 peratus), restoran dan hotel (5.0 peratus), pengangkutan (4.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5 peratus).

"Peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

"Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan dan minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9 peratus hingga 8.6 peratus.

"Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga,” katanya dalam satu kenyataan selepas penerbitan laporan Analisis Indeks Harga Pengguna Tahunan (IHP), pada Rabu.

Menurut Mohd Uzir, pembukaan semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa memberi kesan kepada inflasi restoran dan hotel yang mencatatkan peningkatan lima peratus pada 2022 berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada 2021, manakala inflasi tertinggi pada 2022 dicatatkan pada Ogos 2022 pada 4.7 peratus.

"Ini (kadar inflasi tertinggi pada Ogos) adalah disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, inflasi pada 2022 turut disumbangkan oleh perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.0 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan Bahan Api lain (1.8 peratus).

"Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, terdapat 17.0 peratus item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi.

"Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah halia (-15.7 peratus), rambutan (-3.9 peratus) dan tali pinggang (-3.6 peratus), manakala tambang Light Rapid Transit (LRT), caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir menjelaskan inflasi bagi pengangkutan menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan iaitu 4.7 peratus pada 2022 berbanding 2021 (11.0 peratus), yang disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian yang menyederhana kepada 5.8 peratus berbanding 14.1 peratus pada 2021.

"Ini adalah disebabkan oleh tamatnya kesan asas rendah berikutan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 kepada RM2.05 seliter pada Mac 2021. Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 pada 2022 meningkat sebanyak 1.1 peratus (RM2.05) tahun ke tahun berbanding 21.2 peratus (RM2.03) pada 2021.

"Namun begitu, purata harga petrol tanpa plumbum RON97 meningkat ketara kepada RM3.97 seliter berbanding RM2.65 pada 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, inflasi tanpa bahan api meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel, telah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada 2022 berbanding 1.2 peratus pada 2021.

"Inflasi teras merangkumi semua barangan dan perkhidmatan yang tidak termasuk makanan segar dengan harga yang tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan yang dikawal harga. Inflasi teras menunjukkan peningkatan kepada 3.0 peratus berbanding 0.7 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir menjelaskan kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana tiga negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.3 peratus pada 2022.

Beliau berkata, peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.3 peratus), Selangor (4.2 peratus) dan Johor (3.4 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan terendah iaitu 2.4 peratus.

Bagi inflasi makanan dan minuman, Putrajaya mencatatkan kenaikan tertinggi 7.7 peratus diikuti oleh Selangor (7.4 peratus), Johor (6.1 peratus) dan Pulau Pinang (6.0 peratus), katanya sambil menambah negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan dan minuman nasional iaitu 5.8 peratus pada 2022.

"Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur dan minyak pada 2022 (disebabkan oleh) tekanan geopolitik antara Russia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport bahan mentah bagi produk makanan di Malaysia seperti baja dan tepung gandum,” kata Mohd Uzir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!