Cuaca panas: 6,000 pesawah bimbang hasil padi merosot
SUNGAI BESAR - Seramai 6,000 pesawah di Sungai Besar bimbang kemungkinan hasil tanaman padi mereka menyusut lebih 20 peratus akibat cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd Iskan berkata, meskipun hasil tanaman belum dituai di kawasan itu, namun beberapa kawasan di sekitar Tanjong Karang mengalami penyusutan hasil.
Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada taburan hujan rendah yang menyebabkan padi kekurangan berat selain faktor serangan penyakit padi dan serangga perosak.
"Kebiasaannya pesawah di kawasan berhampiran (Tanjong Karang) mampu memperoleh hasil pengeluaran padi antara sembilan sehingga 10 tan, namun keadaan ini dijangka merosot," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri PPK itu di Sungai Besar di sini pada Selasa.
Sallehuddin berkata, keadaan yang berlaku di kawasan pengairan Tanjong Karang dikhuatiri turut sama berlaku di Sungai Besar.
Ujar beliau, kawasan sawah padi di Sungai Besar berkeluasan kira-kira 6,000 hektar meliputi mukim Panchang Bedena, Sungai Panjang dan sebahagian Pasir Panjang.
Jelas beliau, isu penyusutan pengeluaran hasil dialami pesawah bukan isu baharu, malah ia berlanjutan sejak 14 musim tuaian akibat penyakit padi.
"Cuaca panas ketika ini menambah kesulitan sedia ada dan berharap kerajaan dapat membantu bagi menyelesaikan isu berkenaan," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, PPK Sungai Besar dijangka membina sebuah lagi pusat pembelian padi bagi membantu pesawah menjual hasil terus kepada PPK.
"Kita mempunyai dua pusat belian padi di Parit 12 dan Parit 9 dan sebuah lagi pusat belian yang dijangka dapat beroperasi tahun ini," jelasnya.
Kata beliau, semua pusat belian padi mampu membeli sehingga 5,000 tan metrik hasil pengeluaran.
"Pusat pukal baharu akan dibina di Parit 1 selain sebuah stesen minyak yang bakal menjana ekonomi dan portfolio perniagaan PPK Sungai Besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!