Flat kos rendah: Jangan putar belit kenyataan saya - Sultan Ibrahim
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada segelintir pihak supaya tidak menjadikan kenyataan baginda mengenai keadaan flat kos rendah di negeri ini sebagai isu politik.
"Ini bukan perkara baharu. Kerajaan-kerajaan sebelum ini mengetahui mengenai keadaan flat kos rendah di Johor.
“Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, Kerajaan Perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini," titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi pada Rabu.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda terpaksa bersuara dan mengemukakan masalah itu kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming kerana rakyat kini menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
Baginda bertitah, mutu kerja SWM Environment Sdn Bhd (SWM) sebagai syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pungutan sampah tidak memuaskan terutama di flat-flat kos rendah.
“Tidak ada elemen politik dalam perkara ini. Jangan jadikan ini sebagai isu politik.
“Kerajaan-kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli akan permasalahan ini, adalah sangat malang Kerajaan Perpaduan kini terpaksa menanggung permasalahan ini,” tegas baginda sambil menghargai komitmen Kor Ming yang datang menghadap baginda pada Isnin.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap dan seolah-olah rakyat baginda hidup dalam ‘reban ayam’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!