'Kalau ramai keluar, Umno akan bungkus'

Datuk Sham Mat Sahat
Datuk Sham Mat Sahat
A
A
A
IPOH - Kepimpinan tertinggi Umno didesak supaya menghargai kesetiaan dan perasaan pemimpin dan ahli parti itu di peringkat akar umbi dengan tidak melakukan sebarang perbuatan menjejaskan parti seperti keluar parti beramai-ramai.

Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, di saat Umno menghadapi kekalahan pertama PRU pada kali ini, kesemua pemimpin parti itu diingatkan agar mencontohi sikap parti pembangkang terdahulu dan tidak melebihkan kepentingan diri.

Menurutnya, dalam sejarah PRU diadakan sebanyak 14 kali, parti pembangkang termasuk Pas kalah sebanyak 13 kali, namun pemimpinnya sentiasa istiqamah dan tidak putus asa berjuang untuk parti.

"Kini kita dapat lihat PH akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan, manakala Pas juga berjaya menambah kerajaan negeri daripada Kelantan kepada Terengganu dan Kedah pada PRU12.

"Kita kena 'steady' jadi parti pembangkang dan kena bagitahu rakyat perkara sebenar seperti peruntukan wakil rakyat terhad untuk memberi kefahaman mengapa kita tidak boleh bantu mereka sekerap dahulu.

"Tetapi kalau semua (pemimpin Umno) keluar chempera macam ini, mungkin PRU15 Umno akan bungkus,"katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sham yang juga Adun Alor Pongsu berkata, senario ramai pemimpin tertinggi Umno keluar parti sejak kebelakangan ini menimbulkan perasaan meluat pemimpin bawahan sepertinya yang selama ini menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap parti.

Menurutnya, tindakan segelintir pemimpin terbabit termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno keluar parti atas alasan memerlukan peruntukan untuk jaga rakyat adalah tidak relevan dan mementingkan diri.

"Secara peribadi, saya berpandangan golongan sebegini sudah biasa hidup mewah dengan pelbagai peruntukan dan projek, jadi bila jadi pembangkang, tidak dapat kemudahan itu mereka jadi tidak tentu hala.
Artikel Berkaitan:


"Sekiranya keadaan sebegini berterusan, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap kewibawaan Umno kerana baru beberapa bulan jadi parti pembangkang, kita sudah hancur," katanya.

Ditanya spekulasi kedudukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mungkin akan digantikan dengan pemimpin lain oleh MT parti itu, Sham menegaskan semua ahli Umno kena memberi peluang kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

"Kita sudah beri kepercayaan kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid) melalui pemilihan parti, jadi kena beri peluang kepada beliau.

"Kalau dalam MT Umno pun ada dua tiga kepala hendak buat keputusan sendiri, susahlah kita hendak menentukan hala tuju parti,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!