Indonesia bakal hilang status negara keempat populasi paling ramai

Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu akan berada di belakang Nigeria dan Pakistan dalam kedudukan demografi untuk tempoh 22 tahun akan datang. - Foto: Agensi
Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu akan berada di belakang Nigeria dan Pakistan dalam kedudukan demografi untuk tempoh 22 tahun akan datang. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Indonesia bakal kehilangan status sebagai negara keempat berpopulasi paling ramai di dunia menjelang 2045.

Amaran itu diberikan Kementerian Perancangan Negara selepas keputusan kaji selidik yang dilakukan bersama agensi perangkaan menunjukkan pertumbuhan populasi di negara tersebut akan perlahan kepada 0.4 peratus pada 2045 berbanding 1.17 peratus pada 2022.

“Pertumbuhan penduduk semakin perlahan dengan purata tahunan sebanyak 0.67 peratus dalam tempoh 2020-50,” kata Menteri Perancangan, Suharso Monoarfa pada Selasa.

Angka itu bermakna negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu akan berada di belakang Nigeria dan Pakistan dalam kedudukan demografi untuk tempoh 22 tahun akan datang.

Menurut Suharso, struktur populasi sedang mengalami perubahan pesat di seluruh dunia setelah China juga kehilangan status sebagai negara berpenduduk paling ramai di dunia yang kini dirampas India.

Peratusan penduduk berusia lebih 65 tahun dianggarkan meningkat sebanyak 14.6 peratus pada 2045 berbanding 6.2 peratus pada 2020 manakala golongan umur produktif antara 15 dan 64 tahun bakal menyaksikan penurunan daripada 69.3 peratus kepada 65.8 peratus pada tempoh sama. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!