Pemilik syarikat direman disyaki buat tuntutan palsu Penjana

Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membenarkan reman terhadap suspek bermula Rabu sehingga Sabtu untuk membantu siasatan.
Mahkamah Majistret Kota Kinabalu membenarkan reman terhadap suspek bermula Rabu sehingga Sabtu untuk membantu siasatan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang pemilik syarikat penyedia perkhidmatan latihan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan kira-kira RM570,000 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menurut sumber, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, pada Selasa.

Lelaki itu difahamkan melakukan tuntutan itu menerusi borang pengesahan pekerja yang mengandungi senarai nama pekerja tidak wujud.

Suspek dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu pada tahun 2020 sehingga 2022.

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula Rabu sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan di mahkamah sama pada Selasa, dua individu dari syarikat berbeza turut direman selama lima hari kerana disyaki melakukan kesalahan sama membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM550,000.

Suspek direman selepas permohonan reman dibenarkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.