Agamawan Islam, pemimpin Kristian perlu berdialog

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi
A
A
A

SHAH ALAM - Agamawan Islam dan pemimpin Kristian disarankan untuk mengadakan dialog harmoni bagi menguruskan isu sensitif berhubung penggunaan kalimah ALLAH yang baru-baru ini menimbulkan kontroversi.

Pensyarah International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, menerusi dialog tersebut, satu pencerahan mengenai konsep kedua-dua agama tersebut juga dapat diberikan penganut masing-masing.

“Saranan ini adalah wajar kerana agama Islam mengakui Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa A.S yang turut berkongsi banyak nama yang mempunyai persamaan identiti dengan para rasul yang disebut dalam al-Quran.

“Dialog tersebut boleh memfokuskan kepada sifat ALLAH yang diimani oleh orang Islam dengan tuhan yang termaktub dalam Kitab Injil,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, hasil daripada dialog tersebut, bolehlah dijadikan sebagai pertimbangan kepada sebarang polisi hubungan antara penganut agama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang peribadi orang Islam.

Menyentuh mengenai penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan penganut Kristian, beliau mengulas, ALLAH merupakan nama khas dalam ajaran Islam.

Jelas beliau, kalimah ALLAH bukanlah terjemahan bahasa Melayu bagi 'God', sebaliknya merujuk kepada nama tuhan dalam ajaran Islam.

“Jika penganut agama selain Islam ingin menggunakan bahasa Melayu dalam ibadat mereka, terjemahan perkataan 'God' ialah 'tuhan',” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!