Saran tenaga solar lebih murah
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan tidak memberi subsidi kepada isi rumah yang menggunakan elektrik berlebihan bukan langkah berkesan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi.
Rata-rata pengguna memberi saranan kepada kerajaan agar menyediakan sistem solar kepada B40 dan M40 dengan harga berpatutan memandangkan tindakan tidak memberi subsidi tersebut merupakan pelan jangka pendek.
Bagi pereka dalaman, Norleha Suratin, 40, sekiranya kerajaan mahu menarik semula subsidi ia bukan langkah terbaik bagi membantu golongan sasar di negara ini memandangkan tenaga solar kini semakin popular di beberapa negara.
“Kalau kerajaan nak tarik semula subsidi, mereka perlu memperluaskan sistem solar dengan beri harga yang berpatutan dan mengawal selia harga di pasaran domestik,” ujarnya.
Menurut penulis bebas, Masni Ismail, 48, berkata, walaupun penggunaan elektrik di rumahnya di bawah RM100 setiap bulan, namun berkemungkinan kos tersebut akan meningkat dan kerajaan perlu memberi peluang meneroka lebih banyak sumber tenaga boleh guna.
“Kerajaan perlu beri peluang kepada semua peringkat masyarakat untuk menggunakan sumber tenaga boleh guna bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat sama. Kita tahu kos bahan api semakin mahal jadi pelan jangka panjang perlu dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Norizah Zulbahri, 27, berkata, langkah tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada golongan M40 dan B40 yang mempunyai tanggungan yang ramai.
“Ini kerana ada keluarga yang mempunyai tanggungan ramai daripada B40 dan M40 menggunakan elektrik dengan jumlah banyak,” ujarnya.
Bagaimanapun Pegawai Jaminan dan Kualiti Makanan, Robiatul Rodziah Ali, 41, pula berpandangan, langkah tersebut akan mendorong supaya semua pihak mengambil langkah untuk menjimatkan penggunaan elektrik.
“Jadi mereka yang berjimat masih mendapat manfaat daripada subsidi elektrik yang dinikmati pada hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!