Cuaca panas cetus pembiakan serangga perosak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Cuaca panas berlarutan mungkin akan memberi kesan terhadap sumber air mentah, namun yang paling membimbangkan kepada sektor pertanian buat masa ini ialah pembiakan serangga perosak.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata, keadaan suhu panas menyebabkan serangga mudah membiak dan merebak ke tanaman.

“Jika keadaan panas melampau akan mengakibatkan sumber air tidak mencukupi, namun beberapa hari ini hujan masih lagi turun. Jadi, tiada masalah.

“Tetapi sekarang yang merisaukan kita adalah serangga perosak. Ia mudah merebak dan membiak dengan cepat ketika cuaca panas.

“Jika keadaan ini berlarutan, ia sekali gus akan menjejaskan sumber saraan kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, tambah Ee Mong, dengan keadaan cuaca panas juga memberi kesan positif seperti sayur-sayuran seperti kekacang, tomato, terung dan timun cepat matang, sekali gus mencapai peningkatan dalam penghasilan.

Tetapi, ujarnya, kekangan dihadapi kini, adalah serangga perosak secara tidak langsung akan menyebabkan kualiti tanaman terjejas.

“Sekarang harga sayur-sayuran tidak meningkat, sebaliknya merosot seperti timun dan kacang panjang.

“Selain itu, pengeluaran sayur-sayuran juga lebih sekali gus mencukupi permintaan, tidak seperti musim hujan lalu, dapat dilihat penghasilan sudah pulih cuma pasaran masih lemah selain serangan serangga,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!