KPM garis sembilan teras pencapaian di bawah PH
PUTRAJAYA - Dengan slogan sekolah untuk komuniti, universiti untuk masyarakat, Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah Pakatan Harapan (PH) menggariskan sembilan teras pencapaian setahun kementerian.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, teras pertama dilaksanakan adalah melibatkan beberapa usaha bagi manfaat warga B40 iaitu mereka yang berpendapatan rendah.
“Sebagai teras kedua, KPM komited mengurangkan beban tugas guru dan meningkatkan kebajikan guru.
"KPM telah merangka lima inisiatif dan sembilan intervensi untuk mengurangkan beban tugas guru,” katanya dalam satu wawancara khas di sini, semalam.
Katanya, inisiatif-inisiatif tersebut bertujuan untuk mengatasi pertindihan tugas guru supaya guru dapat fokus pada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Sementara itu, Maszlee berkata, teras pencapaian ketiga yang dilaksanakan KPM sejak mengambil alih pentadbiran adalah menjadikan murid sebagai tonggak.
Jelasnya, melalui teras tersebut bermula 2019, KPM memansuhkan peperiksaan tahap satu; memberi peluang kanak-kanak warganegara tanpa dokumen ke sekolah; menaik taraf dan menyelenggara sekolah seperti dalam bajet 2019; menyemak semula Akta Pendidikan 1966; pelaksanaan program bagi mengurangkan keciciran murid mengikuti pendidikan asas; dan menggubal Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menghadapi bencana di sekolah.
Beliau berkata, KPM turut komited menangani isu sekolah daif melalui teras yang keempat dengan menggandakan usaha membaiki sekolah daif seluruh negara untuk menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran kondusif.
Katanya, golongan kurang upaya (OKU) turut diberi perhatian penuh KPM bagi teras pencapaian yang kelima menerusi beberapa langkah dijalankan iaitu Zero Reject Policy atau Dasar Sifar Penolakan.
Sementara itu, beliau berkata, KPM turut mengiktiraf kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi menerusi teras keenam.
Teras seterusnya dalam pencapaian KPM pula adalah meningkatkan kerjasama dalam pendidikan tinggi.
Kerjasama yang dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak termasuk IPTS dan pihak berkepentingan di samping telah memulakan usaha membawa IPTA ke persada dunia dan membawa universiti antarabangsa ke Malaysia.
"Bagi teras kelapan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) diperkasakan melalui penubuhan jawatankuasa Pemerkasaan TVET pada 21 Jun 2018," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai teras kesembilan, pencapaian KPM adalah melibatkan bahasa budaya dan sastera.
Dalam teras tersebut, sebanyak enam program telah dilaksanakan termasuk Program Sasterawan di Universiti; Kempen Dekad Membaca Kebangsaan; semakan semula Dasar Bahasa Kebangsaan; semakan Dasar Buku Negara; menggubal Dasar Sastera Kebangsaan dan kempen memartabatkan Bahasa Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!