Sahabat Huffaz Pahang bantah konsert Coldplay
KUANTAN - Sahabat Huffaz Pahang membantah dan mengecam sekeras-kerasnya kedatangan artis barat Coldplay untuk mengadakan konsert di negara ini.
Pengerusinya, Dr Felza Zulhibri Abd Hamid berkata, bantahan itu dibuat memandangkan hiburan yang dibawa jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Menurutnya, kumpulan itu juga dikenali sebagai pendokong dan penyokong tegar kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Kami mengharapkan konsep kerajaan Madani yang sedang dipromosikan ketika ini tidak sewenang-wenangnya menghina kesucian Islam dengan mengalu-alukan kedatangan mereka.
"Ada pihak malah mengucapkan selamat datang kepada mereka seolah redha kepada maksiat dan perkara-perkara yang jelas melanggari syariat Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Felza Zulhibri berkata, Sahabat Huffaz Pahang juga berharap kerajaan berhenti memperbodohkan rakyat dengan tindakan mencampuradukkan perkara yang hak dan batil.
"Satu ketika kamu menjemput maksiat dan pada masa lain pula menjemput alim ulama seolah cuba mengaburi kemaksiatan yang dibuat.
"Semoga ALLAH SWT ampuni dosa-dosa yang kami lakukan dan sentiasa memelihara kita khususnya para alim ulama daripada diperalatkan oleh musuh-musuh Islam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!