Anak panda Yi Yi, Sheng Yi dihantar pulang ke China pada Ogos

Gelagat comel panda bernama Sheng Yi - Foto Bernama
Gelagat comel panda bernama Sheng Yi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penghantaran pulang dua anak panda yang dilahirkan di Malaysia, Yi Yi dan Sheng Yi ke China dijadualkan selepas Ogos tahun ini.

Timbalan Pengarah Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, perjanjian antara Malaysia dan China menyatakan anak kepada sepasang panda yang dipinjamkan kepada Zoo Negara mesti dipulangkan ke China apabila mereka berusia dua tahun.

Katanya, bagaimanapun, China belum menetapkan tarikh tepat untuk Yi Yi dan Sheng Yi membuat perjalanan.

"Kami akan meminta kerajaan China untuk mengatur supaya Sheng Yi dan Yi Yi dihantar semula bersama-sama dan sedang menunggu tarikh penghantaran pulang.

"Penginapan selama dua tahun Sheng Yi di sini berakhir pada 31 Ogos dan Zoo Negara berhasrat menghantarnya semula bersama Yi Yi, yang dilahirkan pada 2018 bagi menjimatkan kos pengangkutan," katanya memetik laporan sebuah portal pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan anak panda Yi Yi dan Sheng Yi yang ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara akan dihantar terus ke Chengdu pada pertengahan Mei ini selepas ia tertangguh beberapa kali.

Yi Yi dan Sheng Yi adalah anak kepada pasangan Panda Gergasi, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan kepada Kerajaan Malaysia pada 2014 untuk tempoh 10 tahun, sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa itu, membolehkan Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan mengenai pemuliharaan Panda Gergasi, selain membangun dan melatih kepakaran tempatan.

Sehingga kini, pasangan panda berkenaan yang dinamakan semula sebagai Xing Xing dan Liang Liang, melahirkan tiga ekor anak panda, iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Januari 2018) dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.

Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017.

Tambah Rosly@Rahmat, terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk memutuskan sama ada perjanjian mengekalkan Xing Xing dan Liang Liang perlu dilanjutkan selepas 2024.

Beliau memberitahu, kehadiran Xing Xing dan Liang Liang cukup baik untuk zoo, dan tidak perlu memelihara anak panda di sini.

"Ramai rakyat Malaysia mengunjungi zoo baru-baru ini untuk melihat panda muda kerana mereka akan dipulangkan ke China.

“Jumlah pengunjung meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan lalu, walaupun cuaca panas pengunjung tetap berkeras untuk melihat panda,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Xing Xing dan Liang Liang mempunyai peluang untuk menimang cahaya mata keempat, dia menjelaskan bahawa panda betina hanya menjadi panas selama kira-kira 24 hingga 72 jam setahun, biasanya antara Mac dan Mei.

“Tetapi belum ada tanda-tanda mengawan yang kami sedari,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!