PRN: Amirudin serah pimpinan PKR tentukan calon MB Selangor

Amirudin (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Projek SJAM di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di Kuala Selangor pada Khamis.
Amirudin (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Projek SJAM di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di Kuala Selangor pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada beliau kekal dengan jawatan itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, sebagai ahli parti beliau akur dengan arahan dan keputusan diputuskan oleh PKR bagi menentukan calon Menteri Besar.

"Selaku ahli parti, kita kena patuh dengan beberapa strategi dan perancangan yang bukan keputusan saya sendiri.

"Kalau orang tanya pendirian, saya lebih suka untuk kekal, tetapi sudah pasti pimpinan parti belum membuat keputusan dan boleh mengadakan perbincangan demi kebaikan semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor di Rumah Pam HORAS, Kampung Sungai Darah Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Ditanya adakah beliau calon 'poster boy' Selangor bagi menghadapi PRN, Amirudin memberitahu, keutamaan kerajaan negeri pada masa ini memberi tumpuan kepada rakyat

"Saya rasa di Selangor kita hendak lengkapkan semuanya iaitu polisi, dasar dan kejayaan.

"Saya percaya poster boy bukan segalanya, apa yang penting apakah yang telah berjaya kita telah sampaikan dan mampu laksanakan," ujar beliau.

Ditanya mengenai perbandingan pentadbiran beliau dengan Menteri Besar Selangor sebelum ini, Amirudin menjelaskan, setiap Menteri Besar mempunyai kelebihan masing-masing.

"Alhamdulillah, saya berjaya (memenangi) Parlimen Gombak dan mungkin masing-masing akan meningkatkan strategi mengubah beberapa hala tuju.

"Saya sendiri akan terus konsisten dan cuba untuk turun sebanyak mungkin program bertemu rakyat," jelas beliau.

Katanya, dalam tempoh lima tahun memerintah, beliau beberapa kali bertemu dengan rakyat menerusi siri jelajah ke negeri ini.

"Mereka mengalu-alukan program kita walaupun ada sedikit sebanyak yang mengadu program kita tidak diketahui dan tidak lengkap.

"Bagi saya, ini adalah cabaran yang kita kena lengkapkan dengan jumlah 7 juta rakyat Selangor," ujar beliau.

Mengulas kemungkinan bertembung dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali pada PRN Selangor, Amirudin berkata, perkara itu belum pasti, namun tetap bersedia dalam segenap situasi dan keadaan.

"Tiba-tiba dari DUN (Dewan Undangan Negeri) Bukit (Antarabangsa) nak turun ke Sungai (tua), itu saya tak pasti.

"Itu strategi dia (Mohamad Azmin) kerana kita tidak bertemu, tidak berbincang, apatah lagi merancang dan ini terpulang kepada strategi masing-masing," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!