Polis siapkan kertas siasatan pengasuh tular dera bayi
JOHOR BAHRU - Polis Johor sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes dera membabitkan dua bayi di sebuah taska swasta di Mutiara Rini yang tular sebelum ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh terdekat ini.
"Polis akan minta reman ke atas suspek disambung kerana akan tamat dalam masa terdekat.
"Siasatan akan dilengkapkan dengan beberapa bukti lagi antaranya laporan perubatan dan kemudiannya akan diserahkan ke pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Dalam majlis itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan mencemar duli memeriahkan majlis sambutan
Pada Selasa, seorang pengasuh di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai, di sini yang disyaki mendera bayi di premis berkenaan direman empat hari.
Perintah itu dikeluarkan Majistret R Salini ke atas suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Pada Isnin, tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.
Tindakan wanita itu mengundang kemarahan netizen selepas dilihat memukul bayi yang sedang menangis itu dengan menepuk kepala bayi terbabit.
Malah, wanita yang kelihatan marah kerana bayi itu menangis turut meniup muka bayi terbabit sehingga menyebabkan bayi itu seperti sukar bernafas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!