'Pulangkan semula bot ayah'
KOTA TINGGI - “Siapa yang terpinjam, saya harap sila pulangkan balik,” kata Mimi Hasan, 37, yang meminta agar bot bapanya yang hilang pagi semalam dipulangkan kembali.
Kehilangan bot bapanya, Hasan Mau Abdullah, 70, disedari ketika dia hendak turun ke laut mengangkat bubu kira-kira jam 7 pagi.
Mimi yang menetap di Kampung Tanjung Surat di sini, berkata, bot berkenaan telah digunakan bapanya sejak 10 tahun lalu untuk mencari rezeki sebagai nelayan.
“Bot itu ayah beli dengan hasil simpanan. Dari bot saiz agak kecil, ayah akhirnya dapat beli bot itu untuk mudahkan dia turun ke laut.
“Macamana ayah tak pening bila bot itu hilang. Itulah pengangkutan digunakan untuk menyara keluarga serta dua lagi adik yang masih sekolah sekarang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambahnya, laporan polis kehilangan bot dan enjin itu telah dibuat di Balai Polis Adela bersama ayahnya.
Katanya, kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku sepanjang 40 tahun ayahnya menjadi nelayan.
“Kejadian pertama dan kedua berlaku berpuluh tahun lepas. Kami amat berharap bot ayah akan dapat balik.
“Kami juga minta kaki pancing yang terlihat atau terjumpa bot ayah boleh berikan kerjasama bantu kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!