LaudryBar perintis dobi layan diri

Sasar 500 premis dibuka dalam tempoh lima tahun lagi

A
A
A

Paul bersama isterinya Sandra Chua yang juga merupakan Pengarah Eksekutif City Coin Group.
Paul bersama isterinya Sandra Chua yang juga merupakan Pengarah Eksekutif City Coin Group.



SHAH ALAM - Menggunakan khidmat dobi layan diri sebenarnya menjimatkan waktu. Kita hanya menghabiskan masa sejam berbanding empat jam jika membasuh pakaian menggunakan mesin basuh konvensional di rumah.

Pengasas City Coin Group, Paul Ang berkata, tindakan beraninya memperkenalkan perkhidmatan dobi layan diri 10 tahun lalu ternyata berbaloi.

Menurutnya, meskipun ketika itu beliau terpaksa berhadapan risiko dobi layan diri miliknya tidak mendapat sambutan, Paul percaya bidang baharu yang diceburinya itu mempunyai masa depan yang cerah.

“Seperti yang diduga, orang ramai akhirnya ‘ketagih’ menggunakan dobi layan diri kerana perkhidmatannya yang pantas,” katanya ketika ditemui pejabatnya di Desa Aman, Kepong baru-baru ini.

Paul berkata, ilham untuk mencuba perniagaan dobi layan diri yang kini terkenal dengan jenama LaundryBar itu adalah ilham isterinya Sandra Chua selepas melihat perkhidmatan dobi layan diri di Australia.

“Saya mulanya tidak yakin tetapi selepas kajian dibuat rupa-rupanya perkhidmatan dobi layan diri ini boleh berjaya sebab tidak ada sesiapa yang berani memulakannya ketika itu.

“Akhirnya sebuah pusat dobi layan diri di bawah jenama LaundryBar dibuka di Desa Aman Puri, Kepong.

“Tahun pertama (buka pusat) memang tiada sambutan, kami cuba tingkatkan perkhidmatan dengan menyediakan sabun dan pelembut pakaian secara percuma,” katanya.

Bersih, jimat

Mesin jenama Tosei keluaran Jepun yang mampu membasuh dan mengeringkan pakaian dengan pantas.
Mesin jenama Tosei keluaran Jepun yang mampu membasuh dan mengeringkan pakaian dengan pantas.



Jelasnya, mesin basuh di LaundryBar juga dilengkapi bahan pembasmi kuman (sanitizer). Dari situ wujudnya persepsi baik pengguna kerana mesin disediakan bersih.

LaundryBar mendapat pengiktirafan SGS Malaysia Sdn Bhd yang mengesahkan premis berkenaan 99.9 peratus bersih dan terhindar daripada bakteria.

“Kalau guna mesin basuh rumah penggunaan air hanya sekitar 20 hingga 40 liter tetapi di LaundryBar mesin kami menggunakan air lebih 110 liter dan pakaian akan lebih bersih dengan penggunaan air yang banyak,” jelasnya.

Tambahnya, keyakinan pengguna terhadap LaundryBar semakin bertambah apabila syarikat itu mula mengembangkan sayapnya menjadi syarikat francaisi dobi terbesar di Malaysia yang kini mempunyai 450 cawangannya di seluruh negara.

PAUL
PAUL

Anak kelahiran Jenjarom, Selangor itu mengakui bukan mudah untuk menjadi sehebat itu tanpa sokongan daripada pelanggan-pelanggan setianya.

“Sebenarnya 450 masih tak cukup, kita menyasarkan 500 lagi cawangan LaundryBar dalam tempoh lima tahun (250 franchise dan 250 korporat),” katanya

Paul berkata, antara sebab syarikatnya berjaya mengekalkan momentum kerana ruang pasaran dobi layan diri masih luas kerana terdapat kira-kira lapan juta isi rumah di Malaysia dengan tidak sampai 10 peratus yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

“Kita juga sedang melihat potensi untuk meluaskan pasaran dobi layan diri ke luar negara. LaundryBar kini mempunyai 200 cawangan di Thailand, Turkiye (11); Brunei (11) dan bakal memasuki Australia tidak lama lagi,” jelasnya.

Mesin basuh 2 dalam 1

Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik, Paul kini beralih kepada pengguna mesin basuh lebih canggih.

LaundryBar kini mempunyai 450 cawangan di seluruh negara.
LaundryBar kini mempunyai 450 cawangan di seluruh negara.

“Mesin basuh buatan Jepun berjenama Tosei itu mampu melaksanakan kerja membasuh dan mengeringkan pakaian.

“LaundryBar dalam proses menggantikan mesin basuh yang baharu yang boleh menjadikan basuhan dengan pantas,” ujarnya.

Tambah Paul, beliau mengalu-akukan mana-mana pihak yang ingin menjadi francaisi.

“Sesiapa yang ingin menambah pendapatan terutama pesara boleh menjadi francaisi LaudryBar. Ia tidak memerlukan pekerja yang ramai, seorang tukang pembersih sudah memadai untuk menguruskan sebuah dobi.

“Mereka yang berminat boleh membuat permohonan pinjaman menerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). Jangan risau kerana mesin basuh kami mempunyai lapan tahun jaminan.

“Kalau tidak berpuas hati, bisnes tak boleh jalan atau sebagainya, francaisi boleh jual semula kepada kami dengan 70 peratus wang akan dikembalikan,” katanya.

Paul bersama salah seorang kakitangannya.
Paul bersama salah seorang kakitangannya.

Selain itu, pihaknya turut memperkenalkan Skim Pelaburan Mudarabah LaundryBar.

“Kami berbangga kerana secara konsisten memenuhi janji kami untuk pulangan pelaburan yang tinggi. Sejak 2020, kami telah membayar sekurang-kurangnya lapan peratus dan bonus 0.5 peratus untuk semua pelaburan berkonsepkan patuh syariah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!