Tebas pokok bendi: FAMA bantu Muhd Rahimi

Wakil FAMA mengadakan pertemuan bersama Muhd Rahimi (tiga dari kanan) di Tangkak, Johor pada Rabu. - Foto FAMA Negeri Johor
Wakil FAMA mengadakan pertemuan bersama Muhd Rahimi (tiga dari kanan) di Tangkak, Johor pada Rabu. - Foto FAMA Negeri Johor
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan pertemuan bersama petani, Muhd Rahimi Osman, 34, yang sebelum ini menebas semua pokok bendi dari kebunnya susulan kecewa dipermainkan oleh pemborong.

Cawangan Komunikasi Korporat FAMA Ibu Pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, hasil pertemuan itu, FAMA telah menyediakan khidmat pengaturan pemasaran kepada Muhd Rahimi sehingga keseluruhan hasil tuaian bendi berjaya dipasarkan melalui Pusat Operasi FAMA Tangkak.

“Isu tersebut berlaku apabila pihak pemborong mengambil hasil tuaian bendi dengan harga yang rendah iaitu sekitar 80 sen ke RM1 per kilogram (kg) dan harga tersebut sangat berbeza dengan sebelumnya iaitu RM2.50 per kg.

“Susulan harga yang rendah daripada pemborong, beliau mengambil tindakan merakam video aksi memusnahkan 1,000 pokok bendi sebagai tanda protes kepada pemborong dan video tersebut telah tular di media sosial.

FAMA menyediakan khidmat pengaturan pemasaran kepada Muhd Rahimi sehingga keseluruhan hasil tuaian bendi berjaya dipasarkan melalui Pusat Operasi FAMA Tangkak.- Foto FAMA Negeri Johor
FAMA menyediakan khidmat pengaturan pemasaran kepada Muhd Rahimi sehingga keseluruhan hasil tuaian bendi berjaya dipasarkan melalui Pusat Operasi FAMA Tangkak.- Foto FAMA Negeri Johor

“Setiap hari, Muhd Rahimi akan membekalkan sejumlah 30kg bendi dengan harga RM2 per kg kepada Pusat Operasi FAMA Tangkak untuk dipasarkan sehingga kesemua 3,000 pokok bendi yang berhasil dituai,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, video memaparkan Muhd Rahimi menebas pokok bendi disebabkan kecewa dengan harga terlalu murah tular di media sosial.

Dalam pada itu, menurut Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, pihaknya sentiasa bersedia dalam membantu petani yang berdepan dengan masalah pemasaran hasil pertanian dengan menjalankan khidmat pengaturan pasaran.

“Petani hendaklah menghubungi pejabat FAMA berdekatan bagi mendapatkan perkhidmatan pemasaran yang diperlukan.

“FAMA menggalakkan usahawan tani di negeri Johor agar mendaftar dalam program Ladang Kontrak supaya mereka memperolehi faedah yang disediakan dibawah program ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!