Mengkritik autonomi UIAM
PROFESOR Mohd Tajuddin Rasdi menulis sebuah artikel di Free Malaysia Today bertajuk Time To Close Down Our 20 Public Universities?. Setakat rencana ini ditulis, artikel itu mendapat lebih 11,000 perkongsian.
Melihat pada tajuk sahaja, pembaca menyangka Mohd Tajuddin akan memberi kritikan menyeluruh kepada kesemua 20 universiti. Agak terkejut bila kritikan beliau hanya kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tidak disebut universiti lain.
Yang dikritik atau disindir termasuklah UIAM, mahkamah tinggi, terorisme di Sri Langka, Abu Jahal, Syed Qutb, Rejim Mesir, Hamka, penjara Hamka, Hassan Al-Banna, Jakim dan Menteri Dalam Negeri (Menteri Pendidikan tidak pula disebut)! Semua dilonggokkan dalam satu bakul sampah.
Di mana letaknya tongkat Prof? Faisal Tehrani. Ya, Faisal Tehrani ialah tongkat Prof yang menyatakan kerelaannya untuk menjadi “pelajar” kepada idea-idea Faisal. Kita hormati sifat tawaduk Prof untuk menjadi murid kepada seorang penulis yang bukan Prof. Tetapi jadilah murid yang bersifat kritis, tidak taksub dan tidak terlebih emosional.
Prof telah menyuarakan kerisauannya dengan persoalan ini: Adakah Jakim bakal menjadi agensi yang akan memastikan semua disiplin ilmu seperti antropologi, sosiologi, kosmologi, psikologi, pentadbiran perniagaan dan kewangan yang diajar di universiti-universiti memenuhi syarat akreditasi? Saya tertanya-tanya adakah ini kerisauan yang realistik atau terlebih emosional?
Persoalan Prof ialah apa guna UIAM kalau ditadbir oleh narrow minded people? Kita tertanya-tanya apakah takrif narrow minded people (orang yang berfikiran sempit)? Prof hanya memberi komen ringkas iaitu mereka yang menyempitkan pemikiran Islam dalam ruang narrow Malay Sunni Shafi’ite Construct.
Adakah semestinya Malay Sunni Shafi’ite construct itu bersifat sempit? Adakah Faisal Tehrani construct, andainya ada, semestinya tidak bersifat sempit?
Benarkah UIAM pada era Malaysia Baharu menghalalkan budaya pemikiran sempit? Saya mengajar subjek Pemikiran Kreatif dan Kritis untuk pelajar pusat asasi dan ijazah. Buku teks utama dikarang oleh Prof Jamal Badi yang memperjuangkan mindset multibudaya dan global.
Salah satu misi UIAM ialah Internationalization, maka para pelajar didedahkan kepada pelbagai mazhab dan ideologi global termasuk cara berfikir Yahudi! Bahkan UIAM pernah dituduh dengan pelbagai label oleh rakyat marhaen seperti “liberal”, “konservatif”, “sufi” dan “wahabi”. Seorang yang bertahap Prof patut melangkaui labelisme ini.
Sebenarnya UIAM selama ini dituduh “kurang kemelayuan” kerana bahasa pengantarnya ialah Inggeris dan Arab. Pelik bila Prof mendakwa UIAM adalah Malay construct dan diqiyaskan dengan IPTA lain yang menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar!
Para pensyarah dan pelajar UIAM era Malaysia Baharu diberi ruang yang cukup luas untuk menyuarakan kritikan terhadapnya. Pensyarah rasa bebas untuk memberi kritikan plus-minus terhadap kerajaan.
Bahkan semester depan, persatuan pelajar akan diberi lebih autonomi. Tokoh-tokoh parti pembangkang pun dijemput untuk memberi syarahan ilmiah di kampus UIAM.
Seseorang yang bertahap professorship sepatutnya memberi kritikan ilmiah yang adil kerana ia akan menjadi “sunnah” kepada rakyat marhaen.
Saya ingin memetik kata-kata Prof Tajuddin yang ditujukan kepada UIAM. Kata-kata yang sama patut ditujukan kepada semua yang berjaya sampai ke tahap professorship. "Universiti tanpa para profesor bukan menara gading kerana profesor adalah beacon of an enlightened Islam for nation building and co-existence.”
Kita hargai kritikan pahit dan jujur dari hati Prof Tajuddin. Bukan sekadar Prof, tetapi Rektor UIAM sendiri dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sistem exam oriented, sistem KPI dan sistem ranking universiti.
Bahkan Dr Maszlee sendiri telah menyuarakan masalah manusiawi dalam pendidikan. Saya sendiri pun banyak mengkritik sistem pendidikan. Malaysia Baharu masih setahun jagung. Marilah kita sama-sama memberi kritikan membina. Terimakasih atas kritikan.
*Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!