Azizulhasni terus gegar Velodrom Nasional

Azizulhasni (tengah) bersama Fadhil (kiri) dan Muhammad Ridwan di Velodrom Nasional, Nilai pada Khamis. - Foto Bernama
Azizulhasni (tengah) bersama Fadhil (kiri) dan Muhammad Ridwan di Velodrom Nasional, Nilai pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus ghairah memburu kilauan emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 selepas meraih pingat emas keduanya menerusi acara keirin lelaki di Velodrom Nasional, Nilai pada Khamis.

Pelumba yang digelar sebagai The Pocket Rocketman yang mewakili Terengganu itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengetepikan pelumba Selangor, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan pelumba Johor, Muhammad Ridwan Sahrom masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Mengulas mengenai perlumbaan, atlet berusia 35 tahun itu berkata, prestasi yang dipamerkan memberi nafas lega buatnya kerana ia membuktikan dia masih mampu beraksi cemerlang meskipun mengalami kecederaan otot kaki kanan semasa menjalani latihan sebelum ini.

"Untuk kejohanan ini saya tak nak terlalu yakint, saya cuma buat satu per satu, daripada pusingan pertama semua okey, akhir cuma buat benda yang betul, tak nak berlaku kemalangan sebab kita banyak lagi perlumbaan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Pemenang pingat perak keirin Olimpik 2020 itu berkata, dia bakal menumpukan untuk beraksi cemerlang pada Piala Berbasikal Trek Antarabangsa di Hong Kong yang bermula minggu depan.

Katanya, kejohanan itu merupakan medan persediaan buatnya untuk Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia 2023 di sini bagi kelayakan Sukan Olimpik Paris memandangkan pelumba dari Jepun, China dan New Zealand bakal turut serta di pentas Hong Kong kelak.

"Pada masa ini saya okey, saya akan tingkatkan secara perlahan-lahan, tengok prestasi kita di Hong Kong minggu depan kita terbang (ke Hong Kong)," katanya.

Sementara itu, bintang muda meningkat naik negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sekali lagi mencipta kejutan apabila merangkul emas kedua kejohanan terbabit dalam acara keirin.

Pelumba berusia 20 tahun dari Kedah itu sekali lagi memperagakan kayuhan cemerlang meninggalkan pelumba berpengalaman Anis Amira Rosidi dari Perlis dan Nurul Alina Syafika Azlan dari Pulau Pinang yang hanya berpuas hati dengan tempat kedua dan ketiga.

"Semasa perlumbaan saya terpaksa tukar strategi sebab undian saya berada di belakang sekali, Anis Amira dah tinggalkan saya, tapi saya tak leka untuk pecut tinggalkan mereka,"

Sekarang prestasi saya dah setanding dengan Anis Amira, saya akan cuba kekalkan momentum saya untuk terus beraksi cemerlang di ACC dan Sukan Asia 2023 Hangzhou," katanya.

Pada Selasa lalu, Azizulhasni dan Nurul Izzah turut memperoleh emas masing-masing dalam acara pecut elit lelaki dan wanita. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!