Bila cuaca panas, hati pun jadi panas

No Image Caption
A
A
A

SELASA lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kerajaan bersedia untuk melaksanakan darurat cuaca ekoran suhu panas melanda negara sekarang.

Jelas Ahmad Zahid, buat masa ini kerajaan akan menggunakan Arahan Nombor 20 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara berhubung pengisytiharan darurat akan digunakan sekiranya cuaca panas melampau berterusan.

Buat masa ini, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah mengarahkan agar aktiviti pembenihan awam dilakukan segera dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ahmad Zahid berkata, aktiviti pembenihan awam akan ditumpukan di beberapa kawasan empangan air.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga meminta kerjasama sekolah menangguhkan aktiviti luar bilik darjah termasuk merentas desa, kawad, sebarang sukan dan permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah.

Katanya, meskipun tiada sekolah di negara ini ditutup ekoran cuaca panas setakat ini, namun pihak sekolah mesti mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan cuaca sedemikian untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Bulan lalu negara dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kampung Perupok di Bachok, Kelantan menjadi mangsa pertama strok haba.

Mangsa, Muhamad Syamil Aqil dikatakan meninggal dunia jam 9.27 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Wanie berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dihidrasi.

Susulan itu, pada minggu lalu Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di tujuh negeri sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut bermula Khamis lalu.

Negeri yang terlibat ialah Kedah, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.

Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Menurut laporan MetMalaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan depan hingga September dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November.

Gelombang cuaca panas di negara ini juga sememangnya memberi kesan kepada orang ramai dan turut menyebabkan bil elektrik mereka naik sekali ganda.

Ia ekoran rata-rata penduduk terpaksa menggunakan kipas dan penyaman udara dengan lebih kerap bagi meredakan bahang panas yang sedang melanda ketika ini.

Seorang peniaga, Nor Hidayati Mohd Azmi, 41, berkata, bil elektrik nya meningkat sekali ganda iaitu sebanyak RM200 kerana kebelakangan ini dia terpaksa menggunakan penyaman udara untuk keselesaan keluarga ekoran cuaca terlampau panas.

“Dahulu, saya hanya pakai penyaman udara pada waktu malam sahaja iaitu ketika mahu tidur tetapi kini saya menggunakannya sepanjang masa dan di setiap ruang,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Pengumuman itu menyebabkan ada hati yang ‘panas’ kerana penggunaan alat penyaman udara kini telah menjadi satu kemestian di rumah termasuk dalam golongan M40 dan ia bukan barangan eksklusif T20.

Harganya yang mampu milik selain cuaca panas negara ini menyebabkan kebanyakan rumah kini mempunyai satu atau dua alat penyaman udara bagi memberi kesegaran kepada penghuni selain mengurangkan bahang panas di dalam rumah.

Pengguna yang mempunyai satu atau dua unit pendingin udara juga bukanlah golongan kaya kerana alat itu bukanlah barangan mewah sebaliknya satu keperluan terutamanya ketika musim cuaca panas. Jangan sampai hati menjadi ‘panas’ melihat bil tinggi selepas ini.

* Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim ialah Pencipta Kandungan Digital Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!