Seorang maut, 9 cedera bas persiaran terbabas di LPT2
DUNGUN - Seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran di Kilometer 375, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Ajil menghala ke Bukit Besi di sini awal pagi Jumaat.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.16 pagi sebelum mengerahkan anggota ke lokasi berkenaan.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati terdapat sebuah bas persiaran telah terbabas dan masuk ke lorong bertentangan.
"Terdapat 30 mangsa di mana seorang maut, sembilan cedera manakala 21 lagi selamat dalam insiden itu," katanya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulan KKM.
"Seorang mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Azman berkata, 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, BBP Kuala Terengganu dan BBP Paka dikerahkan ke lokasi kejadian dibantu dua water tender dan empat jentera EMRS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!