Sevilla, AS Roma berentap final Liga Europa
SENSASI Liga Europa, Sevilla menampilkan satu kebangkitan luar biasa bagi menyingkirkan cabaran Juventus 2-1 bagi kemenangan agregat 3-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Ramon Sánchez Pizjuan pada Jumaat.
Bagaimanapun angkatan Jose Luis Mendilibar terlebih dulu ketinggalan apabila Juventus memimpin perlawanan menerusi penyudah kemas pemain gantian Dušan Vlahovic dari Serbia pada minit ke-65.
Sevilla yang tenang kemudian memperkemaskan permainan menyamakan kedudukan menerusi sentuhan rembatan jarak jauh yang menakjubkan dijelmakan Suso pada minit ke-71.
Gol penyamaan pemain tengah Sevilla itu membawa permainan ke masa tambahan menyaksikan tandukan padu pemain Argentina, Erik Lamela minit ke-95 mengesahkan kepulangan skuad Massimiliano Allegri ke Turin dengan noktah kekecewaan.
Sementara itu, itu AS Roma mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir kejuaraan tahap dua Eropah tersebut selepas menang secara agregat 1-0 setelah terikat tanpa jaringan ke atas Bayer Leverkusen pada Jumaat.
Dalam perlawanan di Bay Arena itu kelab Serie A dari Itali kendalian Jose Mourinho berjaya mengekang kemaraan jentera skuad Bundesliga asuhan Xabi Alonso yang mengawal penguasaan bola sebanyak 72 peratus.
The Giallorossi yang memiliki rekod baik dalam tiga pertemuan kedua-dua pasukan apabila menang ketiga-tiga aksi terakhir tersebut berjaya membuat membuntukan jentera penyudah tuan rumah untuk layak ke final Eropah kedua dalam beberapa musim.
Bayer mengawal sebahagian besar perlawanan kedua di BayArena, namun tidak dapat mencari jalan untuk melepasi kedegilan bahagian pertahanan Roma.
Kemenangan aksi timbal balik separuh akhir kedua itu membolehkan kelab dari Rom itu mara ke pusingan akhir Eropah berturut-turut di bawah Mourinho selepas merangkul kejuaraan Liga Konferensi Europa musim lalu.
Roma berhak ke final
Pengendali AS Roma, Jose Mourinho menyifatkan pasukannya berhak mara ke perlawanan akhir Liga Europa selepas menumpaskan Bayer Leverkusen dengan agregat 1-0.
Keputusan itu menyaksikan Roma berjaya mara ke pusingan akhir dalam kejuaraan Eropah kali kedua selepas menjulang kejuaraan Liga Persidangan Eropah musim lalu.
Dalam perlawanan di Stadium Bay Arena itu, Roma bermain bertahan dan terpaksa mengharungi tekanan hebat daripada Leverkusen yang terlepas banyak peluang keemasan.
Keputusan akhirnya memihak kepada Roma ketika mereka mara dengan kemenangan 1-0 minggu lalu di Itali minggu lalu dan akan menempah pertemuan dengan Sevilla di perlawanan akhir.
"Perlawanan ini adalah hasil kerja kami, kebijaksanaan taktikal, pengalaman, tahu bagaimana untuk kekal dalam perlawanan dan cuba menyembunyikan masalah kami.
"Mereka ini layak mendapat sesuatu yang istimewa. Kebimbangan saya sentiasa untuk mara ke final, ia akan menjadi sangat sukar dengan pengalaman Sevilla tetapi kami akan memikirkannya kemudian," katanya.
Dalam pada itu, kapten Roma, Lorenzo Pellegrini berkata, semua pujian atas kejayaan Roma itu harus ditujukan kepada Mourinho.
"Dia berbeza, dia membuatkan anda sedar kepentingan perlawanan itu. Kami datang ke sini dan semua orang tahu apa yang mereka perlu lakukan.
"Kami belajar segalanya. Terutama di Eropah, anda boleh lihat apa yang jurulatih bawa kepada kami. Mourinho adalah pencipta personaliti kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!