Acara berbasikal boleh jadi lubuk emas negara - Azizulhasni
Pelumba berusia 35 tahun itu berkata, acara berbasikal trek mampu menjadi lubuk emas buat kontinjen negara di temasya dwitahunan itu memandangkan kebanyakan atlet muda sukan berkenaan kini sudah berada di tahap Sukan Asia.
"Saya rasa untuk acara pecut memang skuad negara boleh tuai emas sebab pelumba kita memang setakat ini prestasinya baik.
"Pelumba kita bagi yang junior pun sudah berada di tahap Sukan Asia, cuma yang perlu ditambah baik adalah acara berbasikal lasak sebab program kita setakat ini tidak menentu,” katanya kepada pemberita selepas menjuarai Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 bagi acara keirin lelaki di Velodrom Nasional, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi dan kemampuan skuad muda berbasikal trek kebangsaan sekiranya acara berbasikal trek dipertandingkan di Sukan SEA Thailand.
Azizulhasni yang digelar sebagai ‘The Pocket Rocketman’ itu bagaimanapun berkata, skuad berbasikal kebangsaan tidak boleh berlengah dan perlu membuat persediaan rapi dalam usaha merealiasikan impian untuk menyumbang banyak pingat emas.
Malaysia, melalui detik hitam di edisi Sukan SEA Kemboja 2023 apabila mencipta pencapaian terburuk dalam sejarah temasya sukan itu dengan kedudukan ketujuh serta gagal mencapai sasaran 40 emas.
Malaysia hanya mampu mengumpul 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!