'Adanya Jambatan Bagan Datuk, perjalanan 1 jam jadi 15 minit'
IPOH - Lebih 70,000 penduduk sekitar bakal menerima manfaat apabila Jambatan Bagan Datuk di daerah Hilir Perak siap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jambatan yang menyeberangi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer itu menghubungkan dua kawasan Parlimen iaitu Bagan Datuk dan Pasir Salak.
Menurutnya, pembinaannya dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung berdekatan antaranya Kampung Kayan, pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.
"Jambatan ini bakal memanfaatkan lebih 70,000 penduduk sekitar termasuk anak-anak kita yang merupakan pelajar di beberapa institusi pendidikan berdekatan seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Asrama Penuh Bagan Datuk (SABDA) dan Politeknik Bagan Datuk.
"Jika sebelum ini, jarak perjalanan menggunakan Laluan FT069 dan FT005 akan mengambil masa lebih 1 jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer.
"Dengan adanya Jambatan Bagan Datuk ini, perjalanan hanya mengambil masa kurang 15 minit sahaja," katanya sepertimana dikongsi dalam Facebook di sini pada Jumaat.
Alexander berkata, kesan limpahan pembinaan jambatan itu juga akan membantu merancakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi kawasan setempat, disokong dengan rangkaian hubungan, aksesibiliti dan mobiliti.
Katanya, pembinaan jambatan yang dimulakan pada 2017 itu sudahpun siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat.
"Syabas saya ucapkan kepada semua pihak terlibat terutama Jabatan Kerja Raya dalam memastikan kejayaan pembinaan jambatan ini.
"Semoga usaha dan kerja keras ini dapat dimanfaatkan semua rakyat Malaysia," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pembukaan jambatan tersebut yang sepatutnya dijadualkan menjelang Aidilfitri ditunda ke penghujung Mei.
Keputusan tersebut dilakukan setelah melihat kerja-kerja akhir oleh kontraktor utama dan bagi memastikan semua kerja pembinaan dapat diuji secara komprehensif terlebih dahulu dan melalui proses pewartaan sebelum dibuka kepada umum.
Pada Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melakukan lawatan ke tapak pembinaan projek jambatan memaklumkan, projek bernilai kira-kira RM400 juta itu sepatutnya siap pada Oktober 2020.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, berlaku kelewatan atas beberapa faktor terutama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19, selain kenaikan kos bahan binaan, masalah pekerja dan faktor iklim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!