Festival Turath Islami angkat karya Imam Al-Ghazali
SHAH ALAM - Rakyat Selangor diseru mengambil kesempatan menyertai Festival Turath Islami yang berlangsung selama enam hari bermula 20 Mei hingga 25 Mei ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, festival anjuran kerajaan negeri itu akan mengangkat perbincangan serta penghayatan tentang kitab Ihya’ ‘Ulumudin karya Imam Al-Ghazali.
Menurutnya, terjemahan 10 jilid kitab tersebut buat kali pertamanya diterjemah dalam Bahasa Melayu yang akan dilaksanakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
"Program ini merangkumi lapan komponen, termasuk Daurah Afkar Ihya’ ‘Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya’ ‘Ulumuddin serta interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan, ahli akademik, graduan universiti dan disempurnakan dengan program Muzakarah Ulama Umara.
"Saya bercita-cita program sebegini akan menjadikan Selangor negeri gemilang bergemerlapan sebagai Serambi Keilmuan Islam," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amirudin mengalu-alukan kehadiran para ulama dan Sarjana Islam dari dalam serta luar negara ke negeri antaranya Syeikh Dr Ali Jum'ah, Habib Umar Hafidz, Prof Dr Aqil Siroj, Dr Nadirsyah Hosen, Baba Ismail Sepanjang dan Baba Ghazali.
Beliau turut mengalukan kehadiran tokoh pendakwah antaranya Mufti Menk, Wael Ibrahim dan Dr Muhammad Salah.
Amirudin berkata, program keilmuan dan usaha penterjemahan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap memantapkan syiar Islam serta menjulang Kesarjanaan Islam The Knowledge Triumphant.
Ujar beliau, program sedemikian juga dapat mengeratkan hubungan antara ulama dan umara dalam majlis perkongsian ilmu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!